Rabu, 9 September 2020

118 berhibur di kelab malam antara 221 ditahan ingkar PKPP

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata 
daripada jumlah itu 212 individu dikompaun, 8 direman dan 
seorang dijamin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan 221 individu semalam kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), termasuk 118 yang mengunjungi pub dan kelab malam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, 212 individu dikompaun, 8 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan dilakukan mereka termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (34), penjarakan fizikal (43), tidak memakai pelitup muka (18), gagal mematuhi perintah kuarantin (1), premis beroperasi lebih masa (5), dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam Operasi Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) semalam berjaya melakukan 24 tangkapan melibatkan 61 PATI dan 5 tekong.

Katanya, seramai 25,688 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai lalu hingga semalam, ditempatkan di 70 hotel dan 8 institut latihan awam (ILA), serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Mereka pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,390 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 68 dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, seramai 15,230 individu sudah dibenarkan pulang.

Tiada ulasan: