KUALA LUMPUR: Pakar Rusia dan Malaysia sedia membincangkan kemungkinan untuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin Covid-19, menurut Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latypov.
Beliau berkata Kremlin ingin mengadakan persidangan video 2 hala bagi tujuan itu.
“Saya harap ia boleh dilakukan minggu depan,” katanya. “Kami sedang menunggu respon dari Malaysia.”
Pada April, Putrajaya mengumumkan Rusia antara beberapa negara yang dikenalpasti untuk kerjasama membangunkan vaksin itu.
Latypov, yang bercakap dengan FMT semalam sempena Hari Rusia, berkata saintis di negara sedang menjalankan ujian klinikal ke atas sampel vaksin yang mereka bangunkan dan juga sedang menguji ubat-ubatan berasaskan immunoglobulin.
Beliau menambah persidangan itu tidak terhad kepada perbincangan mengenai pembangunan vaksin.
Malaysia dan Rusia nampaknya juga berhasrat untuk bekerjasama mengenai kit ujian dan kelengkapan perubatan seperti ventilator dan pelindung diri.
Latypov berkata Rusia amat berminat untuk belajar daripada pengalaman Malaysia menguruskan krisis itu.
“Perintah kawalan pergerakan sangat berkesan,” katanya. “Amat berguna bagi Rusia melihat bagaimana ia dijalankan. Ada kawalan serupa di Rusia tetapi nampaknya tidak berkesan di beberapa wilayah.”
Beliau juga berkata pihaknya berharap persidangan video tentang Covid-19 itu menjadi permulaan kepada siri dua hala lain termasuk pelancongan dan kemungkinan membina zon industri Rusia di utara Malaysia.
Beliau berkata rakyat Rusia suka bercuti di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain. “Pada masa sama kami ingin lebih ramai rakyat Malaysia lawat Rusia setiap tahun dan kenali budaya kami.”
Mengenai zon perindustrian, beliau berkata Rusia berminat untuk membinanya di Malaysia di samping zon sama di Mesir.
Latypov juga bercakap mengenai perdagangan dua hala, mengatakan beliau tidak berpuas hati dengan jumlah tahun lepas, yang kurang daripada AS$3 bilion.
“Kami nampak peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan tahun ini, tetapi diganggu Covid-19,” tambahnya.
Beliau berkata Rusia menganggap Malaysia sebagai “kawan rapat” dan menghargai pendirian “seimbang” Putrajaya mengenai isu antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan