Lim Kit Siang berkata Malaysia mungkin dapat mengelakkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sekiranya tidak berlaku ‘langkah Sheraton’ untuk menjatuhkan kerajaan PH. |
PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menyalahkan “langkah Sheraton” sebagai punca gelombang ke-2 penularan Covid-19 di negara ini dengan berkata, jika bukan kerana langkah politik itu, Malaysia mungkin dapat mengelakkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata hampir separuh kes Covid-19 yang dikesan membabitkan kluster konvensyen jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.
Perhimpunan keagamaan itu berlangsung antara 28 Feb dan 1 Mac membabitkan peserta tempatan dan antarabangsa.
“Jika tidak kerana ‘langkah Sheraton’ dan pergolakan politik yang semakin buruk seperti dinyatakan dalam titah Yang di Pertuan Agong pada pembukaan sidang Parlimen selama 1 hari pada Isnin, Malaysia tidak perlu berdepan gelombang ke-2 penularan Covid-19.
“Jumlah kes Covid-19 kita yang disahkan akan berada dalam lingkungan 3000, jika tidak di bawah 3,000 kes, berbanding hampir mencapai 7,000 kes hari ini.”
Beliau berkata ketika Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, negara mencatatkan jumlah tertinggi kes Covid-19 di Asia Tenggara dan kedudukan ke-18 di dunia.
“Sekarang, kedudukan kita jatuh ke tangga ke-56 dari segi jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang disahkan. Sebenarnya, jika bukan sebab gelombang ke-2 penularan Covid-19, kita sepatutnya berada di atas kedudukan ke-70 dalam kalangan negara di dunia dari segi kes Covid-19 yang disahkan.”
Malaysia, katanya, sepatutnya berada di belakang Thailand yang mempunyai penduduk 2 kali ganda lebih ramai berbanding Malaysia, tetapi negara jiran itu berada pada kedudukan ke-70 itu dan hanya melaporkan 3,033 kes dan 56 kematian.
“Kesan langkah Sheraton dan pergolakan politik yang semakin buruk memberikan impak yang sangat berat kepada Malaysia.”
Untungnya, kata Lim, Malaysia tidak perlu bergantung pada kepemimpinan politik untuk memerangi gelombang ke-2 Covid-19.
“Rakyat Malaysia dengan tepat memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa dan keselamatan diri mereka sendiri bagi memastikan gelombang ke-2 penularan Covid-19 terkawal.”
Lim berkata, kerajaan seharusnya membentangkan pelan strategi keluar Covid-19 bagi memastikan pemulihan ekonomi ketika Dewan Rakyat bersidang pada Isnin.
“Bilakah kerajaan akan membentangkan kepada umum strategi pelan keluarnya dan ‘blue print’ sewaktu pakar menasihatkan orang ramai supaya belajar hidup dengan koronavirus memandangkan vaksin yang efektif mungkin mengambil masa 2 hingga 5 tahun untuk dibangunkan dan boleh didapati dengan mudah?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan