Khamis, 14 Mei 2020

Adakah jalan raya bakal jadi medan penentu selepas ini? – Mat Sabu

Kumara Sabapatty
MGF07032020_CERAMAH-JELAJAH-PAKATAN-HARAPAN_27
Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan bahawa sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini hanya untuk mendengar urusan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak mengejutkan malah telah dijangka.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, tindakan itu tidak menunjukkan atau mendukung kekebasan demokrasi yang diperjuangkan di negara ini sejak pemerintahan Perikatan Nasional.

Kata bekas Menteri Pertahanan itu lagi, selepas melancarkan serangan hendap yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional terus menunjukkan sikap rakus dengan menjatuhkan beberapa kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Harapan termasuklah terkini di Kedah.

Artikel berkaitan: Dewan Rakyat tak bersidang, hanya Istiadat Pembukaan YDPA

“Desakan Pakatan Harapan sebelum ini supaya Dewan Rakyat bersidang penuh bukan sahaja tidak diberikan perhatian malah urusan sehari pada 18 Mei juga telah dipendekkan lagi tanpa sebarang persidangan selepas Titah Diraja.

“Jelas sekali tindakan ini bukan sahaja tidak mencerminkan kewibawaan dan sikap demokratik kerajaan kini, malah turut menunjukkan kegusaran kerajaan Perikatan Nasional terhadap usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sekiranya Parlimen tidak dijadikan medan terbuka yang berkesan untuk menunjukkan keberkesanan sistem demokrasi dalam negara, adakah ini bermakna bahawa jalan raya bakal menjadi medan penentu selepas ini?” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Tambah Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi, semestinya Amanah dan PH menjangkakan PN pimpinan Muhyiddin akan berselindung di sebalik alasan ‘sudah-sudahlah berpolitik’ walaupun mereka sendiri yang ghairah merampas dan mengagih kuasa semasa Covid-19 menular.

“Terang lagi bersuluh, kerajaan Perikatan Nasional kini bukan sahaja merupakan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ tetapi juga ‘Kerajaan Tanpa Tulang Belakang,” – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: