Khamis, 5 Disember 2019

Penganalisis ramal PH akan terus retak jika Anwar tak jadi PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih belum memuktamadkan 
tarikh sebenar peralihan kuasanya kepada Anwar Ibrahim.
 
PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan berlakunya keretakan serius dalam Pakatan Harapan (PH) sekiranya Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak diangkat sebagai perdana menteri ke-8.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata sekiranya perkara itu berlaku, dibimbangi bibit perpecahan dalam PKR dan PH seperti yang boleh dilihat sekarang, akan melemahkan pentadbiran kerajaan.

“Bahkan, dalam keadaan di mana tarikh penyerahan kuasa belum muktamad pun sudah berlaku senario pengurusan hal ehwal negara terkebelakang.

“Contoh paling nyata ialah keputusan PRK (pilihan raya kecil) Tanjung Piai,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memetik tempoh dan tarikh yang berbeza mengenai peralihan kuasa kepada Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang disepakati dalam PH.

Menurut Azmi, terdapat beberapa pihak yang mengaitkan kekalahan di negeri selatan tanah air itu dengan isu peralihan kuasa.

Hal demikian katanya, disebabkan politik dalaman PH yang dilihat begitu taksub dengan peralihan kuasa, menyebabkan para menteri lupa akan tanggungjawab mereka mengurus negara dan memenuhi keperluan rakyat.

Ketika ditanya sama ada pengikut Anwar akan turun ke jalan raya sekiranya beliau tidak diangkat sebagai perdana menteri, Azmi berkata strategi itu tidak terguna pakai sewaktu PH menjadi kerajaan.

“Lagi pun Anwar perlu menunjukkan beliau sebagai bakal PM yang tidak menggunakan `huru-hara’ demi memenuhi agenda tertentu,” katanya.

Atas sebab itu, kata Azmi, strategi demonstrasi jalanan tidak lagi relevan sebagai wadah perjuangan untuk Anwar dan pengikutnya.

Tiada ulasan: