Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tergesa-gesa menandatangani perjanjian Statut Rom merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada negara.
Presiden Sukarelawan Malaysia, Dr. Isham Jalil berkata dengan termeterainya perjanjian tersebut, negara berisiko untuk kehilangan kedaulatannya apabila pihak berkuasa luar bebas melakukan siasatan tanpa sebarang makluman kepada pihak berkuasa tempatan.
“Saya nak kata pada mereka, siapa yang mahu tandatangan Statut Rom ini, mereka bukan sahaja pengecut, tetapi pengkhianat.
“Kalau kita tandatangan Statut Rom ini penyiasat mereka boleh masuk negara kita tanpa beritahu pihak berkuasa kita, tidak perlu maklum kepada polis malah juga Kementerian Dalam Negeri, maksudnya mereka boleh masuk sesuka hati, siasat dan tangkap,” katanya dalam satu ceramah di Gombak pada Isnin.
Mengulas lanjut, Isham berkata walaupun Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian menegaskan untuk menarik diri daripada perjanjian tersebut, namun syarat perjanjian Statut Rom yang memperuntukkan masa satu tahun sebelum pembatalan masih meletakkan Malaysia di ambang bahaya.
“…Apabila kita menyertai perjanjian Statut Rom, kita juga diperlukan untuk membayar ‘subscription fee’ kepada mahkamah jenayah antarabangsa mereka.
“Kemudian semalam diberitahu oleh pakar undang-undang, mereka kata kalaupun Mahathir enggan meneruskan Statut Rom, tidak boleh buat (batalkan), kita perlu teruskan perjanjian selama setahun, selepas setahun dibenarkan untuk dibatalkan.
“Jadi kita jerut diri sendiri dan kita pula yang perlu membuat bayaran, cerdik atau tidak mereka ni?,” bidas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan