Jumaat, 19 April 2019

'Kritikan Zaid pada PH bukan berunsur peribadi'


   

Penganalisis politik melihat kenyataan Zaid Ibrahim yang berunsur sindiran terhadap kerajaan PH sejak akhir-akhir adalah kerana sikap bekas menteri undang-undang itu yang suka berterus-terang.

Bagaimanapun, Menurut Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), dalam melontarkan kenyataan seperti itu, Zaid sering bersikap seolah-olah pandangannya sendiri saja yang betul.

“Zaid yang kita kenali seorang yang suka berterus-terang, tak mempunyai agenda peribadi atau agenda lain, selain daripada untuk melihat PH itu berada di landasan yang betul.

“Kemungkinan ada rasa kekecewaan dan merajuk. Siapa yang tidak dikritik oleh Zaid? Semua orang dia kritik, bukan? Dia tak peduli.

“Tapi masalahnya, Zaid ini, dia rasa dia saja yang betul dan sehingga mencetuskan banyak musuh baik di dalam parti atau luar parti,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jeniri berkata demikian ketika ditanya sama ada pandangan Zaid terhadap PH itu adalah disebabkan tidak diberikan peluang untuk memegang sebarang jawatan.

Semalam, Zaid meluahkan keraguannya terhadap kenyataan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin sebelum ini yang mengatakan bahawa PH memerlukan masa enam bulan lagi untuk memulihkan semula negara.
Dalam kenyataan di Twitter, Zaid berkata tempoh tersebut mustahil untuk memenuhi manifesto PH, sebaliknya hanya akan menyebabkan lebih banyak aset negara yang terjual.

Mengulas perkara itu, Jeniri menganggap pandangan Zaid tidak berunsur peribadi, sebaliknya merupakan "persepsi rakyat" terhadap prestasi PH selama mentadbir kerajaan pusat.

“Jadi, pandangan dan kritikan beliau (Zaid) itu saya percaya mempunyai justifikasi dan asas yang kukuh.

“Sama seperti juga pandangan dan persepsi rakyat pada keseluruhannya yang melihat PH tidak begitu berupaya menerajui kepimpinan negara ke arah landasan yang betul,” kata Jeniri.

PH dikelilingi menteri lemah

Jeniri turut bersetuju dengan pendapat Zaid berhubung tempoh enam untuk PH menunaikan manifesto.

Menyifatkan sasaran tersebut sebagai satu cita-cita yang tinggi, Jeniri berkata, PH sebaliknya perlu memberikan fokus cara untuk menyelesaikan beban rakyat terutamanya dari isu seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

“Mereka (PH) telah mencuba sedaya-upaya tapi mereka seolah-olah hilang arah disebabkan oleh kepimpinan kabinet dan menteri yang tidak berpengalaman yang mendalam.

“Tetapi pada masa sama mereka keluarkan kenyataan-kenyataan yang kontroversi, sehingga menyebabkan mereka dalam kancah masalah yang besar,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata, tidak banyak syarikat ingin menambah pekerja kerana faktor ekonomi yang tidak memberangsangkan membuatkan mereka menjimatkan kos operasi.
Sementara itu, Prof Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata PH boleh menunaikan manifesto dalam dalam tempoh berkenaan jika menumpukan pada kerja masing-masing dan bukannya "menjenamakan semula" perkara yang sudah diwujudkan pada era pentadbiran BN.

Kartini merujuk kepada program Permata Negara (Permata) yang dijenamakan semula dengan nama baru, Genius.

“Saya kira Zaid juga sama seperti kebanyakan majoriti rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi PH yang belum menampakkan keupayaan untuk memacu pembangunan, mencipta peluang pekerjaan dan menunaikan janji-janji manifesto.

“Saya kira semua rakyat merasakan perubahan yang dijanjikan oleh PH, kni satu yang mustahil.

“Pretasi PH lemah dan belum berupaya membuktikan kekuatan, yang ada adalah kekalutan, kurang kerjasama pada permuafakatan dalam gabungan PH,” katanya.

PH sedang lakukan proses pemulihan
 
Bagaimanapun, Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Univerisiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan pandangan yang berbeza dengan Jeniri dan Kartini.

Mohd Azizuddin menyifatkan Zaid sebagai golongan yang kecewa merasakan tempoh enam bulan itu cukup untuk memulihkan ekonomi negara.
“Daim lebih bercakap pasal pemulihan ekonomi. PH sedang berusaha tunaikan manifesto. Apa yang mereka buat kerana prihatin pada rakyat.

“Sekarang ini (negara) dalam proses pemulihan. Dalam setahun, dua akan datang akan banyak lagi agenda peduli rakyat yang akan dilaksanakan. Kalau tidak, PH akan hadapi masalah,” katanya.

Dia menjelaskan, agenda pembaharuan dan pemulihan berbeza dari segi tempoh pelaksanaan.

Proses pemulihan, kata Mohd Azizuddin, mampu dilakukan dalam masa enam bulan, sementara agenda pembaharuan memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Contohnya, electoral reforms (pembaharuan sistem pilihan raya) ada banyak. Ada boleh laksanakan segera dan ada yang perlukan beberapa tahun untuk dilaksanakan selepas kajian mendalam dilakukan,” katanya.

Mohd Azizuddin bagaimanapun menggesa PH menyelesaikan isu-isu kos hidup agar tidak hilang sokongan.


Tiada ulasan: