KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, lebih banyak laporan polis akan dibuat terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa Felda.
Jelas beliau, kerajaan komited membawa individu-individu berkenaan ke muka pengadilan.
“Kita sedang meneliti dapatan Audit Forensik ini dan banyak nama-nama yang telah muncul dalam siasatan ini.
"Kita akan membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan harus diambil.
“Ini kerana ia adalah (perbuatan) jenayah, bukan sahaja kecuaian biasa tetapi jenayah yang telah melibatkan berbilion ringgit wang rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen selepas Pembentangan Laporan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat, hari ini.
BACA: Kerajaan sasar Felda pulih dalam 5 tahun - Azmin
Pembentangan tersebut hari ini mendedahkan aliran tunai FELDA berada pada tahap kritikal, selain baki tunai Felda merosot daripada purata RM2.5 bilion dalam tempoh 2007 hingga 2011 kepada hanya RM400 juta pada 2017.
Mengulas lanjut, Azmin berkata semua laporan polis dan pertuduhan yang bakal dibuat adalah berdasarkan bukti yang diperolehi daripada Audit Forensik.
Katanya, kerajaan tidak akan bertindak di luar bidang kuasa dan semuanya adalah atas keputusan pihak berkuasa dan mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan