Rabu, 5 Disember 2018

PERTAHAN HAK MELAYU – TUN HAMID

Wartawan Watan-Online

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meminta peserta perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini supaya menjaga tingkah laku agar sentiasa bersopan serta menjaga keamanan

Malah beliau sekali lagi menegaskan bahawa perhimpunan itu dibuat bagi menentang ICERD yang dilihat bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Pesekutuan mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah serta Sarawak yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum Merdeka.

Katanya, orang Melayu tidak pernah mempersoalkan hak yang diberikan kepada orang bukan Melayu sejak dari dahulu lagi.

“Maka orang bukan Melayu dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) janganlah cuba menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Dalam hal ini, tidak ada tolak ansur. Bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia hendaklah bersatu dan mempertahankan hak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hamid turut menggesa anak-anak Sabah dan Sarawak supaya sedar bahawa jika hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan, hak keistimewaan mereka juga akan terhapus.

“Kepada semua rakyat Malaysia saya berseru, hormatilah peruntukan Perlembagaan Malaysia dan bersama-samalah membina sebuah negara Malaysia yang aman, tenteram, makmur dan maju seperti yang kita telah lakukan semenjak Merdeka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kemaafan kepada semua pihak kerana tidak dapat hadir pada perhimpunan berkenaan ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.



Tiada ulasan: