Isnin, 31 Disember 2018

Ke mana Mat Hasan nak bawa Umno

 
   

ULASAN | Saya telah diamanahkan untuk menjalankan tugas presiden Umno. Berat tanggungjawab yang membayangi tugas ini. Umno kini berada di kedudukan paling kritikal dalam perjalanan panjangnya, dan pelbagai ketidaktentuan menanti.

Pada masa ini, Umno memerlukan segala daya usaha dan komitmen anggota-anggota setia, untuk mendukung, memulih dan membangunkan semula parti kita sebagai gerakan politik dan amal bakti.

Sebelum membentangkan iltizam baru Umno untuk tanahair, ada dua perkara yang perlu saya jelaskan kepada semua ahli Umno dan rakyat Malaysia tentang arah baru yang akan diambil parti kita.

Yang pertama, membangunkan semula Umno akan mengambil masa. Sejujurnya, tiada rumus yang mudah dan tepat yang boleh diambil untuk terus digunakan. Lebih-lebih lagi dinamik politik
Malaysia dan global sangat deras berubah.

Justeru saya meminta semua ahli Umno, rakan dan taulan Umno, untuk bersedia melalui jalan yang sukar dan berliku ini bersama-sama. Biar apa pun yang menanti di hadapan, kita akan tempuh dan lalui bersama dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Sabar jodoh bahagia

Cuma, janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Tetapi yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia.

Semoga dengan muafakat ini, tugas kita untuk memulihkan Umno akan menjadi amal soleh dan menempah kejayaan.

Yang kedua, dalam membangunkan semula Umno sebagai parti berwibawa dan diyakini, kita mesti mencari kelaziman baharu atau ‘a new normal’.

Umno memerlukan kecerdasan yang baru dan radikal. Bukan lagi retorik dan slogan kosong.
Maka sikap dan landasan pemikiran kita juga harus disesuaikan untuk memanfaatkan peranan baru Umno.

Gejala politik lama yang telah melemahkan Umno dari dalam, harus dihentikan, dan ahli-ahli perlu membuka telinga kepada maklum balas rakyat walaupun ia mungkin sukar didengari.

Ramai yang tertanya-tanya ke mana Umno akan dibawa selepas tahun yang penuh cabaran ini. Oleh itu, di bawah, saya menggariskan lima iltizam Umno untuk tanahair, yang akan kita jadikan pedoman dalam membangunkan jalan ke hadapan.

Suburkan demokrasi

Pertama, Umno akan membina dan menyuburkan sistem demokrasi Malaysia melalui kepimpinan yang berprinsip sebagai pembangkang.

Umno mesti melupakan dahulu hajatnya untuk berkuasa semula. Umno hanya ada satu sahaja pilihan iaitu membangunkan semula keyakinan orang Melayu terhadapnya dan menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

Kita tidak akan merunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak, atau hijack keputusan PRU-14 dengan kembali membanjiri dan menyibuk dalam pasukan kerajaan.

Iltizam baru bagi Umno adalah untuk menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip.

Rakyat Malaysia yang telah memilih kerajaan baru tidak akan dikhianati oleh Umno.
Pembangkang disegani

Kedua, kita akan membangunkan wibawa Umno sebagai parti pembangkang yang terhormat dan disegani.

Selama empat setengah tahun yang berbaki ini, Umno akan menjadi wadah semak dan imbang yang tegas dan benar-benar efektif.

Umno akan memberikan alternatif yang baik kepada segala yang dijanjikan oleh pihak kerajaan, dan terus menyuarakan pendapat dan menyatakan sebarang kelemahan yang didapati.
Ketiga, Umno akan memerangi politik wang.

Politik kewangan telah menjerumuskan Umno ke tahap sekarang. Ia bukan sahaja menyebabkan Umno tewas, tetapi menjadikan rakyat semakin lemah dan tidak berketahanan.

Kepada semua ahli, sedarlah bahawa politik wang adalah keji pada agama, dan keji pada adat dan amalan.

Saya dan rakan-rakan dalam parti akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa yang tidak ingin bersama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana, atau ke mana-mana pihak yang boleh memberikan anda habuan yang diharapkan.

Umno yang baru hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan Umno.

Modal politik 

Keempat, idea akan dijadikan modal politik Umno.

Umno akan menjadi ‘a learning political party’ yang menyerap keunggulan intelektual dari semua pendukungnya, baik ahli parti mahupun daripada rakyat yang bersedia menyumbang kepada tanahair.

Perjuangan politik kurun ke-21 adalah tentang percaturan dasar terbaik, program paling memanfaatkan, kepimpinan paling kompeten dan institusi paling moden dan termaju. Gerakan Umno akan berorientasikan data, kajian, ilmu baru dan pendekatan termaju.

Lebih penting, menjadikan idea sebagai modal politik Umno akan membenarkan berlakunya perubahan generasi atau generational change yang sangat diperlukan oleh parti ini.

Kita tidak akan menjadikan usia sebagai kelebihan mana-mana pemimpin Umno. Parti ini akan digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa, yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini.
Semak agenda Melayu

Kelima, Umno beriltizam untuk menyemak kembali agenda Melayu.

Memperjuangkan bangsa Melayu tidak akan dilakukan dengan meminggirkan bangsa lain dalam apa jua cara. Sudah tiba masa agenda Melayu Umno disemak. Ia mesti direkayasa dan diberikan lonjakan baru.

Seperti yang saya ungkapkan dalam ucapan sulung sebagai timbalan presiden, Umno mesti menggalas usaha ‘the Malay Renaissance’.

Langkah yang konkrit dan berkemajuan akan diambil agar bangsa Melayu dalam dekad pencerahan ini akan lebih kompeten, berdaya saing dan maju.

Dengan semakan semula agenda Melayu ini, Umno akan ada tawaran baru atau a new deal kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

Inilah iltizam baharu Umno yang akan dijadikan pedoman dalam perjalanan ke hadapan. Saya berharap bahawa semua pendukung Umno berkongsi dalam iltizam ini.

Seruan ke arah kebaikan adalah seruan yang mesti kita bangunkan bersama. Dengan kerjasama kita semua, akan bermulalah episod pengislahan sebenar Umno, insya-Allah.


*MOHAMAD HASAN ialah pemangku presiden Umno. Ulasan ini asalnya hantaran di Facebook beliau.


Tiada ulasan: