Rabu, 26 Disember 2018

Laporan: 5,000 pengikut Ahmadiyah berkumpul di Selangor

MALAYSIAKINI

   

Lebih 5,000 pengikut Ahmadiyah dilapor menghadiri perhimpunan tahunan ke-33 ajaran itu selama tiga hari, sehingga Ahad lalu, di Selangor.

Ia diadakan di sebuah pusat peranginan di Selangor, menurut Free Malaysia Today.

Portal itu memetik jurucakap Jamaah Muslim Ahmadiyah Malaysia Ainul Yaqeen Sahib sebagai berkata perhimpunan yang dikenali sebagai “Jalsa Salanah” itu turut dihadiri pengikut luar negara.

“Jumlah kehadiran semuanya dalam 5,000 lebih di mana dalam program, ia dimulakan dengan solat tahajud berjemaah, kemudian kita ada kuliah Subuh dan selepas sarapan pagi semua anggota bersiap untuk pergi ke lokasi pertemuan Jalsa Salanah. Ini himpunan di peringkat Malaysia.

“Memang setiap tahun kita ada lakukan himpunan tahunan dan kita buat di lokasi berbeza bergantung kepada kapasiti tempat berkenaan. Ada yang datang dari Pakistan, Indonesia, Kemboja bahkan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jerman juga ada. Kita undang sesiapa sahaja yang dapat datang,” beliau dipetik sebagai berkata.

Pada 6 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pengikut faham Ahmadiyyah untuk menjalankan ibadat tanpa diganggu pihak berkuasa agama Islam Selangor.

Fatwa Selangor pada 2001 yang mengisytiharkan pengikut ajaran itu sebagai sesat.


Tiada ulasan: