“Saya ingin menjelaskan beberapa kebimbangan dibangkitkan, yang membuatkan saya seolah-olah berperanan dalam isu ini selaku ketua SPRM pada Februari 2016,” katanya selepas 5 jam disoal siasat SPRM.
“Pada masa itu, saya belum dilantik sebagai ketua SPRM.
“Pada Februari 2016, saya ialah pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pembabitan saya ialah saya diminta mewakili AGC sebagai pegawai undang-undang dalam hanya satu mesyuarat.”
Katanya, kenyataan dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad menyatakan seorang wakil AGC menghadiri satu mesyuarat itu.
“Itu ialah saya.
“Itu satu-satunya pembabitan saya dalam isu ini,” katanya.
Dzulkifli berkata, beliau antara saksi terakhir disoal siasat SPRM, di mana lebih 15 individu dipanggil agensi anti-rasuah itu sebelumnya.
Katanya, beliau sudah memberi keterangan penuh kepada SPRM dan tidak akan dipanggil untuk disoal siasat sekali lagi.
Dzulkifli tiba pada 10.24 pagi dan meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pada 3.30 petang tadi.
Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ambrin Buang turut diapnggil ke Ibu Pejabat SPRM hari ini yang merupakan sesi soal siasat keduanya berhubung laporan audit itu.
Beliau mula disoal siasat SPRM minggu lalu.
Pada 24 November lalu, Madinah mengeluarkan satu kenyataan mendakwa laporan audit itu dipinda atas arahan beberapa individu, termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas ketua setiausaha sulitnya, Tan Sri Shukry Salleh; bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Ali Hamsa; Ambrin dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Madinah dilaporkan berkata, laporan itu dipinda dengan menggugurkan 2 perkara penting, iaitu kehadiran ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan satu perenggan yang mengandungi 2 versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014.
SPRM berkata, ia membuka siasatan ke atas dakwaan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan