GEORGE TOWN – Seorang kanak-kanak perempuan melecur di
beberapa bahagian badan selepas disimbah dengan air panas oleh bapanya
sendiri selepas dia dituduh mencuri duit RM10 milik ibunya dalam
kejadian di Flat Kampung Melayu, Air Itam di sini pada Khamis.
Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa yang berusia lapan
tahun melecur di lengan, rusuk dan dada kanan, namun keadaannya
dilaporkan stabil.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang
berkata kejadian itu disedari seorang lelaki yang juga jiran keluarga
berkenaan dan kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat
laporan.
“Kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital
Pulau Pinang dan menerima rawatan di Wad C2 yang menempatkan pesakit
yang mengalami kesan terbakar, doktor mendapati mangsa terbakar tiga
peratus.
“Keadaan kanak-kanak itu stabil dan masih boleh
berkomunikasi, namun kami menunggu mangsa pulih sepenuhnya untuk diambil
keterangan,” katanya di sini hari ini.
Che Zaimani berkata siasatan awal polis mendapati mangsa
adalah anak kedua daripada empat beradik dan bapa mereka bekerja sebagai
jurujual kad sim sebuah syarikat telekomunikasi di Bayan Baru, dekat
sini.
Katanya lelaki yang juga jiran kepada keluarga itu turut
mendakwa ibu bapa mangsa selalu mengabaikan mangsa dan adik beradiknya
yang lain apabila mereka sering dilihat berkeliaran di kawasan kediaman
tanpa pengawasan orang dewasa.
Beliau berkata lelaki berusia 41 tahun dan isterinya
seorang suri rumah telah melarikan diri kerana pemeriksaan polis di
rumah dan tempat kerja mendapati mereka telah tiada.
“Siasatan awal mendapati mangsa disiram air panas oleh
bapanya yang berang kerana dia dikatakan mencuri wang RM10 milik ibunya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan