Isnin, 24 Disember 2018

Persembahan istimewa Siti Hasmah memukau penonton konsert

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Kemunculan istimewa yang jarang-jarang sekali ditampilkan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali memukau para penonton yang memenuhi Istana Budaya bagi menonton konsert malam Sabtu, menyaksikan para hadirin beramai-ramai berdiri memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghormatan di akhir persembahannya.

Konsert itu menampilkan penyanyi lagenda Datuk Jamal Abdillah serta Datuk M.Nasir; dan isteri Perdana Menteri hadir menghiburkan para hadirin dengan memainkan biola bagi mengiringi tiga lagu, yakni Fatwa Pujangga, Engkau Laksana Bulan dan Gubahan Ku.

Apa yang lebih memilukan adalah apabila beliau menujukan persembahannya itu – dipercayai buat pertama kali dipersembahkan di konsert umum – buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia Isnin lepas selepas mengalami kecederaan serius akibat diserang dalam kejadian rusuhan di sebuah kuil India di Subang Jaya.

Dr Siti Hasmah dalam ucapan ringkas beliau sebelum memulakan persembahan berkata, majlis perkahwinan Muhammad Adib sepatutnya dijadualkan pada hari sama berlangsung konsert, namun ia tidak kesampaian apabila beliau terlebih dahulu dijemput ilahi.

Beliau turut meminta para hadirin untuk menghadiahkan bacaan Al-fatihah kepada arwah, yang terajui oleh Jamal Abdillah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan khas untuk konsert empat hari yang berakhir hari ini, menggambarkan “Konsert Duo Lagenda” itu sebagai “Concert of the Year”.

“Gabungan Datuk Jamal Abdillah Datuk M. Nasir, dua nama besar dan tersohor di dalam dunia hiburan negara pasti menarik perhatian peminat-peminat muzik tanahair.

“Saya turut merasa ‘excited’ apabila diberitahu bahawa kedua-dua nama besar ini akan menjayakan konsert tersebut. Saya turut merasa bangga diminta menjadi penaung dan saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk menulis kata-kata aluan sempena Konsert Duo ini,” katanya.

Dr Mahathir yakin konsert ini akan menjadi kenangan yang berkekalan kepada para peminat muzik tanahair yang berpeluang untuk menyaksikannya.

Perdana Menteri juga memberi penghargaan yang tinggi kepada Jamal Abdillah dan M. Nasir dengan menyatakan beliau percaya rakyat Malaysia secara umumnya akan dapat menghargai kedua-dua insan seni ini yang berjaya mencapai kemuncak kerjaya mereka menerusi usaha gigih dan kerja kuat mereka sendiri.—Bernama

Tiada ulasan: