Jumaat, 28 Disember 2018

BN Pahang sedih Sivarraajh tak layak tanding - Wan Rosdy

MALAYSIAKINI

   

PRK CAMERON | Pilihan raya semula akan diadakan susulan keputusan mahkamah yang memutuskan kemenangan Sivarraajh pada PRU14 terbatal.

Pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa Naib Presiden MIC C Sivarraajh tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands tidak akan melunturkan semangat jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan itu sebaliknya akan membuatkan mereka bekerja dengan lebih bersemangat kerana menerimanya sebagai cabaran besar yang perlu ditangani.

Katanya, BN Pahang juga akan mengadakan perbincangan segera dengan kepimpinan BN Pusat dan Sivarraajh untuk tindakan selanjutnya.

"Saya juga sedih dan kecewa dengan keputusan (SPR) ini. Tambahan pula Sivarraajh telah terbukti seorang anggota parlimen yang bagus selepas memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Jentera parti berlapang dada

"Saya percaya apa juga keputusan kepimpinan BN Pusat dan negeri akan diterima dengan berlapang dada oleh jentera parti yang seterusnya akan bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan BN pada PRK itu," katanya dalam kenyataan media di Kuantan, hari ini.


SPR hari ini, mengesahkan Sivarraajh tidak boleh dipilih atau tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya, dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2018.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

PRK Parlimen Cameron Highlands akan diadakan ekoran keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang memutuskan kemenangan Sivarraajh pada PRU14 terbatal dan tidak sah kerana berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.

SPR menetapkan 12 Januari depan sebagai hari penamaan calon untuk PRK Cameron Highlands, manakala hari mengundi pada 26 Januari.


Tiada ulasan: