Isnin, 24 Disember 2018

Polis nasihat himpunan tuntut keadilan Adib tak provokasi

MALAYSIAKINI

   

Peserta perhimpunan aman bagi menuntut keadilan atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang akan dianjurkan di Klang, Selangor petang esok dinasihatkan mematuhi arahan pihak polis dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata pihaknya akan menempatkan pegawai polis yang mencukupi bagi mengawal keselamatan sepanjang perhimpunan 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy'.

"Kita sudah bersiap sedia dengan anggota polis yang mencukupi untuk mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sekitar bandar Klang esok," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 9.41 malam Isnin lepas.

Mengulas mengenai permit perhimpunan berkenaan, Ab Rashid berkata pihaknya ada menerima notis pemberitahuan dari penganjur himpunan berkenaan, Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) tetapi ia diserahkan kepada pihak polis kurang dari tempoh yang ditetapkan.

Himpunan itu yang akan diadakan di Dataran Seni Klang di Selangor, petang esok diadakan bagi menuntut keadilan atas kematian Muhammad Adib selain turut dijadikan platform bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy meletak jawatan dan menuntut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat pemimpin Hindraf tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, lima persimpangan jalan akan ditutup esok bermula pukul 12 tengah hari berikutan perhimpunan itu.

"Lima persimpangan yang terlibat ialah Jalan Raja Hassan, Jalan Nangka, Jalan Nanas, Jalan Melayu dan Jalan Taiping.

"Pada masa sama, jalan yang terlibat dengan penutupan berperingkat bermula pukul 3 petang pula ialah Susur Jambatan Kota, Bulatan Kota, Bulatan 100, Persiaran Sultan Ibrahim, Jalan Pos Baru dan Jalan Pasar, laluan kontra turut akan dibuat di Jalan Batu 3 sekiranya penutupan penuh dibuat," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: