PAS tidak akan bergabung dengan Umno kerana parti itu ibarat bahtera yang telah bocor, kata presidennya Abdul Hadi Awang.
"Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.
"Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah," kata anggota parlimen Marang itu.
Abdul Hadi berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama warga Malaysia pada program "An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang" di Dublin, Ireland, kelmarin, lapor Harakahdaily.
Bagaimanapun menurut Hadi, Umno tidak boleh dikatakan telah 'berkubur' kerana parti itu masih mempunyai penyokongnya tersendiri.
"Dan Umno ini ada penyakit dan masalah dia. Adapun mengata Umno (berkubur) di alam barzakh, maka tidak mudah. Parti Komunis yang diharamkan pun masih ada. Parti Hitler masih ada pengikut. Syaitan pun ada pengikut.
"Tuhan jadikan tak mati syaitan selagi tak berlaku kiamat. Bukan saya kata dia (Umno) syaitan, tidak. (Tetapi) Kita nak matikan kefahaman ini tidak mudah, akan ada warisan dia," jelas beliau.
Hubungan politik antara PAS dan Umno telah diperkatakan sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lagi.
Hubungan
itu diteruskan di bawah presiden Umno yang baru, Ahmad Zahid Hamidi
apabila kedua-dua parti itu bekerjasama dalam menghadapi tiga pilihan
raya kecil di DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan parlimen Port
Dickson.
Mereka kemudian bergabung tenaga dalam
menghimpunkan puluhan ribu penyokong bagi membantah Konsyensen
Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum
(Icerd) awal bulan ini.
Timbalan presiden Umno, Mohamad Hassan sebelum ini menegaskan Umno dan PAS tidak akan bergabung menjadi sebuah parti.
Sebaliknya
beliau berkata kedua-dua parti itu hanya menjalinkan kerjasama dan
persefahaman sebagai blok pembangkang dalam isu membabitkan kepentingan
rakyat.
Sementara
itu, Abdul Hadi berkata PAS akan mendukung mana-mana gabungan yang
mendominasikan orang Islam dalam pemerintahan negara.
"Islam adalah syarat kaum yang mendominasi, ini sangat penting. Kerana pemimpin dipatuhi, mesti didukung oleh kaum yang paling kuat dalam kalangan orang Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan