Rabu, 5 Disember 2018

NAJIB HADIR PERHIMPUNAN ICERD

Wartawan Watan-Online
 

Datuk Seri Najib Razak sah akan turut serta berjalan kaki untuk berarak ke perhimpunan bantah ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Kehadiran bekas Perdana Menteri itu dilihat sebagai satu suntikan semangat dalam usaha mengajak penyertaan lebih ramai umat Islam Islam dan orang Melayu hadir.

Penyertaan Najib disahkan Pengarah himpunan itu, Kamaruzaman Mohamad yang memaklumkan sudah menerima pengesahan kehadiran Ahli Parlimen Pekan itu.

“Najib akan turut hadir ke perhimpunan itu dan kita mengalu-alukan sesiapa saja (untuk hadir) termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, Rabu.

Selain Mahathir, pengajur juga turut mengalu-alukan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke himpunan itu.

Beliau berkata kehadiran Mujahid dan Anwar penting sekiranya ingin mendengar suara rakyat untuk hadir ke perhimpunan itu memandangkan dua tokoh terbabit bersungguh-sungguh mahu meratifikasi ICERD.

“Kami menjemput siapa saja begitu juga dengan Mujahid dan Anwar,” katanya lagi.

Sementara itu Kamaruzaman menegaskan perhimpunan Sabtu ini bukanlah perhimpunan bersifat perkauman, sebaliknya ia adalah perhimpunan yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi titik penyatuan rakyat berbilang kaum hidup dalam suasana aman damai cuba diganggu gugat oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.


Tiada ulasan: