PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan) P Waythamoorthy meletakkan jawatan serta-merta susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semalam.
Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mendakwa Waythamoorthy bukan sahaja gagal mengawal rusuhan di kuil di Subang Jaya bulan lalu, malah didakwa “menambahparahkan” keadaan.
“Beliau (Waythamoorthy) bersikap tidak profesional serta berbohong dengan menyalahkan pihak berkuasa terutama polis yang dikatakan gagal mengawal keadaan pada masa material tersebut.
“Apatah lagi segala fakta yang diberikan oleh beliau tentang tindakan pihak polis bercanggah dengan keterangan fakta yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin semasa menjelaskan tentang tragedi ini di Dewan Rakyat pada 29 November,” kata kenyataan itu.
Dalam kejadian tersebut, menurut polis, Muhammad Adib ditarik keluar daripada kenderaan yang dinaikinya dan dipukul oleh beberapa orang perusuh sehingga mengalami kecederaan parah.
Sementara itu, Takiyuddin berkata Waythamoorthy boleh digantikan dengan pemimpin lain daripada kaum India yang lebih berwibawa.
Pada 26 November, Waythamoorthy bersama empat menteri dan seorang timbalan menteri lain, mengadakan satu sidang media bagi menyampaikan teguran terhadap cara pihak polis menangani rusuhan di kuil tersebut pada awal pagi hari yang sama.
Teguran itu antaranya mengandungi dakwaan polis tiba lewat di lokasi kejadian, yang telah dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak lama kemudian.
Hal
itu menyebabkan Waythamoorthy menerima kritikan hebat daripada warga
maya atas tuduhannya yang mengelirukan dan dilihat menjejaskan imej
pihak polis.
Sementara itu, Setiausaha Amanah Anuar Tahir dalam satu kenyataan, menyeru rakyat agar tidak mengapi-apikan kematian Muhammad Adib di media sosial sehingga mampu mengundang konflik yang lebih buruk.
“Saya yakin kecekapan pihak polis untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka keadilan.
“Justeru, saya menyeru rakyat Malaysia supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru dengan mengapi-apikan isu di media sosial sehingga berisiko mengundang konflik yang lebih buruk.
“Sebaliknya yakinilah kecekapan pihak polis untuk bertindak mengikut lunas perundangan dan kuasa yang dimiliki,” katanya lagi.
Muhammad Adib, 24 meninggal dunia semalam di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada jam 9.41 malam setelah hampir tiga minggu bertarung nyawa.
Kematian Muhammad Adib kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan