KUALA LUMPUR – Mana-mana wakil rakyat UMNO boleh
menyertai parti komponen Pakatan Harapan namun disyaratkan untuk tidak
memegang apa-apa jawatan dalam tempoh setahun.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) Khalid
Abdul Samad bagaimanapun berkata, sebelum diterima masuk ke dalam parti
kerajaan itu, mereka perlu menjadi wakil rakyat bebas dan menunjukkan
rekod prestasi.
“Ada sesetengah pemimpin UMNO beritahu kepada kita mereka kecewa dan mahu tinggalkan parti.
“Kita kata tak apa tinggalkan parti dan jadi bebas dulu. Kita tengok macam mana dia tunjuk prestasi sebagai bebas.
“Lepas itu kalau nak mohon masuk PAN ia bergantung kepada bagaimana prestasi dia.
“Biar bebas dulu, dan akhirnya bila diterima tak boleh
pegang jawatan untuk setahun. Itu garis panduan umum di antara
parti-parti PH,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan
Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 Biodiesel bagi kenderaan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat
PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengulangi pendiriannya
tidak akan menerima bekas pemimpin UMNO yang ingin menyertai parti itu
kerana tidak yakin mereka akan membawa agenda reformasi kepada negara.
Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH) turut
melahirkan lebih keyakinan kepada individu yang menyertai PKR sebelum
Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerana jelas pihak berkenaan menyokong
agenda reformasi.
Khalid yang juga Menteri Wilayah berkata, tidak semua ahli
UMNO di peringkat akar umbi bermasalah dan terlibat dengan pelbagai
salah laku jenayah.
“Ahli UMNO itu kita pilih laa, ramai ahli UMNO di bawah boleh dipakai.
“Yang mana pemimpin-pemimpin UMNO, orang yang tidak puas hati, dah kecewa hilang kepercayaan kepada UMNO dan sebagainya
“Kita tengoklah kita temubual lah setiap satu, janganlah kita main angkut ikut suka saja,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan