KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melukis lagi hari ini.
Kali ini bagi menjelaskan soal tuduhan beliau yang menjual tapak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

Menurutnya, selepas dijelaskan beberapa kali dengan perkataan, nampaknya masih ramai yang tidak faham.

"Saya tahu ada yang masih menuduh saya menjual tapak TUDM Sungai Besi tanpa mengetahui kisah sebenar langkah ini.

"Berkali-kali penjelasan sudah dibuat tetapi mereka tetap dengan tuduhan yang sama. Adakah mereka tidak membaca?

"Oleh kerana ramai tidak suka baca dan sering panggil saya lukis, maka saya juga lukis kesimpulan untuk isu Pangkalan Udara (PU) Sungai Besi ini," katanya melalui kemaskini status di Facebook, hari ini

Menjelaskan soal kontroversi PU Sungai Besi seluas 486 ekar, Najib berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpendirian lokasi tersebut sudah tidak sesuai dari aspek operasi keselamatan.

"Berbanding 60 tahun dahulu, lokasi di tengah bandaraya dan dikelilingi kepesatan pembangunan dengan adanya bangunan tinggi dan kepadatan penduduk bermakna PU di Sungai Besi ini amat terdedah dengan ancaman luar dan usaha risikan.

"Sebab itu juga, mengapa kebanyakan lapangan terbang antarabangsa di dunia dipindahkan dari tengah bandaraya kepada kawasan pinggir bandar," katanya.

Menurutnya dalam perjanjian dengan 1MDB, ATM mendapat PU di Sendayan dengan keluasan tanah 750 ekar dilengkapi dengan fasiliti moden dan sudah mula beroperasi 16 Mac lalu.

Najib berkata 1MDB turut membiayai projek menaiktaraf dan membina enam lagi aset dan pangkalan ATM termasuk PU Gong Kedak di Terengganu, PU Butterworth dan PU PDRM di Ipoh yang telah siap tahun lepas.

Manakala pembinaan dan kerja naik taraf masih dijalankan di PU Kuantan, PU Subang dan Rejimen Artileri Diraja (31 RAD) di Kajang.

"Kesemua projek-projek yang bernilai RM2.7 bilion ini dianugerahkan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bukan kepada kroni.

"Dengan ini, keselamatan aset-aset ini boleh dipastikan dan LTAT boleh menjana untung untuk wang pesara ATM," katanya

Beliau turut memberitahu PDRM menerima Pangkalan Udara (PGU) PDRM Subang beroperasi 28 Februari lalu berkeluasan 40 ekar dengan 17 bangunan dan fasiliti baru yang lebih besar berbanding fasiliti lama dan membolehkan operasi PGU berjalan 24 jam tanpa henti.

Beliau melahirkan rasa hairan selepas penjelasan dibuat beliau masih dituduh menjual PU Sungai Besi.

"Mengapa tidak pula mereka katakan saya kejam atau zalim kerana membina PU Sendayan yang jauh lebih besar dan canggih, PGU Subang untuk RMP yang lebih besar dan moden serta menaikkan taraf enam lagi pangkalan ATM?

"Semua kos pembinaan dibiayai 1MDB. Walaupun 1MDB mengambil alih tanah ini dari pihak TUDM sama seperti tanah TRX, harga jualan RM400 juta juga tidak memberi gambaran yang penuh," katanya.

Jelasnya, antara syarat dikenakan, 1MDB tidak boleh memulakan sebarang pembinaan di atas tanah tersebut dan terpaksa menanggung kos pinjaman untuk beberapa tahun sehingga kesemua lapan pangkalan ATM siap dibina dan memulakan operasi.

"Setelah kesemua pembinaan dan pemindahan selesai, 1MDB boleh mula memaju dan membangunkan projek Bandar Malaysia yang mempunyak nilai pembangunan kasar sebanyak RM200 bilion jauh lebih tinggi daripada hutang 1MDB kini.

"Ini yang propaganda PH telah sembunyikan mengenai 1MDB sehingga kini. Begitu juga dengan peranan 1MDB dalam penyelesaian perjanjian legasi Penjanaan Tenaga Bebas (IPP) berat sebelah yang akan dan telah membolehkan Petronas dan Tenaga untung sebanyak RM400 bilion dalam tempoh 20 tahun ini," katanya.