Rabu, 19 Disember 2018

Harga telur turun 2 sen belum puaskan hati pengguna, kata Fomca




PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata langkah kerajaan menurunkan harga telur ayam setiap gred sebanyak 2 sen susulan lonjakan 10 sen baru-baru ini belum memuaskan hati pengguna.

Timbalan Presiden Fomca Mohd Yusof Abdul Rahman berkata rakyat hanya berpuas hati jika harga telur kembali ke harga sebelum kenaikan, kerana kuasa beli sekarang semakin lemah.

“Rakyat tidak puas hati kalau turun 2 sen dengan nilai ringgit jatuh,” katanya.

Fomca menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera lebih lagi di musim perkahwinan sekarang ini.

Yusof menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat dakwaan ada pakatan dalam industri telur untuk menaikkan harga telur, selain isu eksport.

“Keadaan harga telur ini mungkin tak memuaskan hati dan menjadi mainan pengguna media sosial,” katanya.

Harga telur dilaporkan meningkat lebih 10 sen sejak 2 bulan lepas, mengundang desas desus mengatakan kenaikan tersebut berpunca daripada kegiatan kartel telur ayam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub pada Isnin berkata harga telur ayam setiap gred akan diturunkan 2 sen selepas kata sepakat dicapai bersama Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) pada 14 Disember lalu.

Ahli perniagaan terkenal Datuk Ameer Ali Mydin mencadangkan kerajaan mengenakan larangan eksport sementara bagi memulihkan bekalan telur ayam, sementara pakar ekonomi, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) mencadangkan pasaran dibuka kepada pengeluar asing untuk menstabilkan harga.

Tiada ulasan: