Rabu, 19 Disember 2018

Tiada jaminan wakil rakyat Umno kekal selepas Zahid serah tugas presiden, kata Bung Moktar


(Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Tiada jaminan ahli Parlimen Umno akan kekal bersama parti itu, walaupun selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata demikian berikutan dakwaan pihak tertentu bahawa tindakan keluar Umno oleh lebih ramai ahli Parlimennya akan berhenti sekiranya Zahid melepaskan jawatan presiden parti.

Katanya, ia hanya alasan direka pihak tertentu untuk mengelak daripada dikritik apabila mengumumkan keluar Umno dengan menyalahkan Zahid.

“Isu lompat parti ini bukan sesuata perkara baru. Pada saya, tidak ada jaminan bahawa tidak akan ada lagi yang lompat parti selepas ini,”kata pengerusi Umno Sabah itu kepada FMT.

Zahid semalam mengumumkan menyerahkan tugas-tugas presiden Umno kepada timbalannya ditengah-tengah desakan dari dalam partinya yang mahu beliau meletak jawatan.

Terdahulu, Pemuda Umno menyarankan Zahid bercuti sehingga perbicaraan kes-kes rasuahnya selesai.

Beliau berhadapan dengan 46 pertuduhan, iaitu 11 dikaitkan dengan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan 8 kes rasuah.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, keputusan Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad adalah bukti Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berjiwa besar.

“Demi kelangsungan perjuangan Umno, Zahid sanggup memberi laluan kepada timbalan presiden untuk menjalankan tugas-tugas presiden,” katanya.

Nafi Zahid sogok Umno Sabah

Mengulas dakwaan Zahid menyogok pemimpin Umno Sabah untuk menang jawatan presiden Julai lalu, Bung berkata ia fitnah.

“Dakwaan itu tidak benar. Sebagai contoh, Umno Kinabatangan memberi sokongan kepada Zahid.
Kami tidak menerima apa apa pun daripada Zahid. Ini tuduhan yang cuba melemahkan presiden dan Umno,” katanya.

Tiada ulasan: