Rabu, 19 Disember 2018

Sempadan maritim Malaysia-Singapura ibarat ‘rumah tidak berpagar’


(Gambar Bloomberg)
Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura terjerumus lagi dalam isu sempadan maritim antara kedua-dua negara yang tidak berkesudahan. Malaysia memperluaskan had pelabuhan Johor sehingga ke Tuas, dan sebagai tindak balas, Singapura melakukan perkara yang sama.

Sampai bila kedua-dua negara yang wujud secara aman bersama berdekad lamanya ini akhirnya akan punya “pagar” maritim yang jelas?

Sebelum menjadi jajahan Inggeris, Singapura adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor yang wujud pada 1528. Pada 1824, Singapura secara sah menjadi milik Inggeris dan sejak itu banyak perjanjian yang dibuat oleh kerajaan British di Singapura dengan Sultan Johor berkenaan sempadan maritim kedua-dua wilayah, serta pembinaan rumah api di Pulau Pisang termasuk isu kedaulatan ke atas Batu Puteh.

Selat Johor yang memisahkan Johor dan Singapura dibahagikan antara Kesultanan Johor dan kerajaan British di Singapura menerusi Perjanjian 1927.

Perjanjian ini jelas menyatakan semua pulau di Selat Johor, seperti Pulau Ubin dan Pulau Tekong menjadi milik Singapura.

Johor merdeka dalam Persekutuan Malaya pada 1957 dan seterusnya, kedua-dua wilayah, Johor dan Singapura menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963.

Apabila Singapura dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia pada 1965, kedua-dua negara merasakan perlu untuk menandatangani satu lagi perjanjian berkenaan pembahagian Selat Johor.

Ini dilakukan menerusi Perjanjian 1995 untuk membahagikan secara tepat sempadan maritim antara kedua-dua negara yang dilakukan sebelum ini pada 1927 di Selat Johor.

Akan tetapi, sebelum Perjanjian 1995 dibuat, Malaysia mengeluarkan Peta Baru pada 1979 yang mana Malaysia secara unilateral memasukkan Batu Puteh dan kawasan Pelabuhan Tuas di dalam wilayah laut Malaysia. Singapura bertindakbalas dengan membuat bantahan terhadap tuntutan ini.

Akibat daripada itu, Perjanjian 1995 tidak termasuk kawasan Pelabuhan Tuas yang kini menjalani beberapa proses penambakan tanah yang agak luas. Sempadan tetap di antara Malaysia dan Singapura di kawasan barat Selat Johor berakhir di garis merah yang ditunjukkan dalam Peta 1.

Malah, kawasan penambakan tanah Pelabuhan Tuas memasuki garis tuntutan Malaysia menerusi Peta 1979, juga ditunjukkan di dalam garis coklat Peta 1.



Peta 1. Singapura menambak kawasan yang dituntut unilateral oleh Malaysia (garis berwarna coklat) menerusi Peta 1979.

(Sumber: Maritime and Port Authority of Singapore)

Malaysia juga memperluaskan had Pelabuhan Johor sehingga menghampiri Pelabuhan Tuas seperti yang ditunjukkan di kawasan berlorek dalam Peta 2.



Peta 2. Perluasan Had Pelabuhan Johor Bahru 2018 seperti di dalam kawasan yang dilorekkan.
(Sumber: Maritime and Port Authority of Singapore)

Jadi sekarang, negara mana yang melanggar kedaulatan? Siapa yang benar, siapa yang salah?

Memandangkan kedua-dua negara tidak melukis sempadan maritim secara jelas di kawasan Pelabuhan Tuas, kawasan tersebut berhak dituntut oleh kedua-dua Malaysia dan Singapura.

Tetapi yang jelas, tuntutan unilateral Malaysia menerusi Peta 1979 di kawasan Pelabuhan Tuas tidak diiktiraf oleh Singapura, sebagaimana negara republik tersebut menafikan Batu Puteh sebahagian daripada Malaysia menerusi peta yang sama.

Pagar maritim

Malaysia perlu sedar “pagar maritim” perlu “didirikan” kedua-dua negara memandangkan ini jelas bersangkutan langsung dengan kedaulatan negara. Perbalahan yang timbul di Tuas sekarang ini adalah manifestasi bahawa sekiranya tiada sempadan maritim yang jelas dilukis, kawasan tersebut bebas dituntut oleh Malaysia atau Singapura.

Perkara sama perlu diberikan perhatian terhadap Batu Puteh. Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh kepada Singapura manakala Batuan Tengah milik Malaysia. 10 tahun berlalu, namun tiada sebarang garis perbatasan maritim yang ditetapkan di kawasan tersebut.

Selagi ini tidak dibuat, Singapura dan Malaysia akan saling tuntut menuntut menyebabkan perbalahan terus berlaku di antara kedua-dua negara berjiran ini.

Peta 3 menunjukkan kawasan maritim yang berpotensi menjadi wilayah laut atau zon ekonomi ekslusif (EEZ) Singapura jika sempadan maritim di kawasan ini tidak segera ditetapkan.



Kawasan Maritim yang boleh dituntut Singapura menerusi Batu Puteh di Laut China Selatan seperti yang dilorekkan.

(Sumber: Andi Arsana [2017])

Kedua-dua Malaysia dan Singapura harus member fokus terhadap menyelesaikan masalah ini dengan menetapkan sempadan maritim secara jelas antara kedua-dua negara.

Israel dan Palestin sehingga kini bertelagah kerana tiada sempadan antarabangsa tetap dimeterai di antara kedua-dua negara tersebut, menyebabkan Israel menganggap kependudukan mereka di Tebing Barat adalah sah. Pada akhirnya, kedua-dua negara sulit mencapai keamanan sepenuhnya.

Hubungan Malaysia-Singapura tidaklah seperti Israel-Palestin kerana Putrajaya dan Singapura menjalin hubungan diplomatik yang baik sejak 1965.

Namun, satu perkara yang tidak diragukan adalah – sekiranya tiada sempadan maritim yang jelas – konflik akan terus berlaku kerana kedua-dua negara akan saling menuntut kawasan maritim yang lebih luas. Benar kata pepatah Inggeris “good fences make good neighbours”.

Sebagai 2 negara yang saling rukun, itulah yang pemerintah Malaysia dan Singapura perlu utamakan, seterusnya laksanakan bagi mengekalkan hubungan baik sedia ada antara 2 negara berjiran ini.

* Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Tiada ulasan: