Selasa, 18 Disember 2018

BN PAHANG BERI PERHATIAN GERAKAN BELI WAKIL RAKYAT

Wartawan Watan-Online


Barisan Nasional (BN) Pahang mengambil perhatian pendedahan kewujudan gerakan membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) negeri ini untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan kerajaan negeri.

Pengerusi BN Pahang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau bagaimanapun yakin Ahli Parlimen dan ADUN UMNO serta BN masih memberikan sokongan penuh.

“Kita ambil perhatian terhadap pandangan (Presiden UMNO) Datuk Seri (Ahmad) Zahid (Hamidi) itu.

“Saya yakin Ahli Parlimen dan ADUN masih memberi sokongan kepada BN serta UMNO,” katanya ditemui selepas perhimpunan bulanan penjawat awam kerajaan negeri di Kuantan, Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang mengulas pendedahan Ahmad Zahid mengenai gerakan membeli Ahli Parlimen dan ADUN Pahang untuk berpaling tadah.

Ahmad Zahid mendakwa sudah ada gunting dalam lipatan yang mengugut dan memujuk Ahli Parlimen serta ADUN supaya kerajaan BN Pahang tumbang.

Beliau turut mendakwa ada pertemuan di antara pihak tertentu bagi tujuan itu dan meminta UMNO Pahang melakukan sesuatu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata beliau terkejut dengan pendedahan Ahmad Zahid pada program retreat UMNO Bahagian Temerloh yang turut dihadirinya semalam.

“Kena tanya beliau mengenainya, saya hanya mendengar mengenainya semalam… jadi saya tidak boleh kata ada atau tidak perkara ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh.

Tiada ulasan: