Selasa, 18 Disember 2018

MAHATHIR TAK TAHU, AZMIN MAHU PENJELASAN IZZAH

Wartawan Watan-Online

Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mengetahui punca Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR hari ini.

“Apa? Oh, (letak jawatan) naib presiden…Bukan dari PKR.

“Saya tidak tahu, beliau mesti mempunyai sebabnya.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai apa yang terjadi kepada PKR,” jawabnya mengulas mengenai keputusan mengejut Nurul Izzah.

Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) ditemui pada suatu majlis di Cyberjaya pada Isnin.

Nurul Izzah sebelum itu mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bercakap dengan pemberita di tempat yang sama berharap mendapat penjelasan daripada Nurul Izzah.

“Saya baru tahu mengenainya pagi tadi.

“Saya akan cuba bercakap dengannya dan memahami apa yang sebenarnya terjadi. Saya tiada apa-apa lagi nak ulas,” katanya.

Nurul yang juga anak perempuan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang mengetuai petugas khas kerajaan mengenai latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Dalam kenyataan media sebelum ini, Nurul berkata beliau akan kekal sebagai Ahli Permatang Pauh tetapi akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.                                                                                                                                                                                                                         

Tiada ulasan: