KEPUTUSAN PH untuk
meratifikasi ICERD adalah sikap unilateral; tanpa merundingkannya dengan
pelbagai pihak terutama Raja-raja Melayu. Juga dengan golongan rakyat
terbesar sebagai pemegang taruh utama hal ini sebelum pelaksanaan yang
bakal menyentuh sensitiviti survival Islam dan Melayu di tanah air ini.
Ia jelas membelakangkan Raja-raja Melayu
selaku Ketua Agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan.
Ratifikasi ICERD diusahakan secepatnya tanpa rundingan, persetujuan mahu
pun perkenan Raja-raja Melayu atau Majlis Raja-raja. Sedangkan isu ini
cukup kritikal dan memberi impak ke atas survival negara bangsa Malaysia.
Ketiadaan usaha untuk merundingkan isu
ratifikasi ini secara meluas dengan rakyat, sebaliknya tergesa-gesa
dalam suku pertama 2019; jelas bercanggah dengan prinsip dilaungkan PH.
Walhal kononnya selama ini PH memperjuangkan prinsip keterangkuman (inclusivity), ketelusan (transparency) dan demokrasi.
Ini menunjukkan PH begitu angkuh
membelakangkan prinsip dan juga penghormatan kepada institusi beraja
yang merupakan tiang seri negara kita. Persoalan juga, dalam keadaan
begitu banyak janji Manifesto PH yang belum dan gagal ditunaikan,
mengapa terburu-buru untuk menandatangani ICERD secepat ini?
Menerusi ratifikasi ICERD, pelbagai
persetujuan telah dimeterai dalam konstruk ‘ala-kontrak sosial’ antara
Raja-raja Melayu, kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kaum
bukan Melayu akan kembali dirungkai dan diperdebatkan. Sedangkan ia
telah sedia tersemat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
ICERD jelas sekali membuka ‘kotak
pandora’ apabila bakal memberi ruang kepada pihak yang kuat berusaha
sejak sekian lama mahu mengubah landskap politik negara ditunjangi
Melayu, Islam dan Beraja. Antaranya, Perkara 153 yang menyentuh
kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Bumiputera Sabah dan Sarawak
akan segera dicabar.
Sandaran bahawa negara-negara Arab yang
tidak demokratik dan monarki sekalipun turut meratifikasi ICERD,
menjelaskan lagi betapa sempit dan cetek pemikiran pemimpin PH. Hujah
dangkal begini menunjukkan penuturnya tidak faham komposisi demografi
kaum yang cukup berbeza antara negara Arab dengan Malaysia.
Malaysia masih berada dalam keadaan di
mana kerajaan perlu untuk mengimbangi antara kepentingan umat Melayu
Islam dengan bukan Melayu. Jika selama ini kita berjaya mengekalkan
keamanan dan kestabilan politik akomodatif menerusi acuan sendiri, maka
mengapa perlu tunduk kepada telunjuk tali barut dengan meratifikasi
ICERD?
Suara penentangan terhadap keghairahan
PH ini juga sedang dinyatakan begitu banyak pihak. Antaranya juga adalah
bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang amat dihormati.
Beliau telah memberi amaran keras kepada Kerajaan PH berhubung hakikat
dan implikasi terhadap keputusan meratifikasinya.
Sehubungan dengan itu, kami mendesak
Kerajaan PH menghentikan segera usaha ini kerana ia bakal menggugat
perpaduan, keharmonian, keselamatan dan keamanan negara. PH perlu sedar,
sikap degil mereka hanya akan mengundang bantahan keras rakyat atas
cinta mereka mempertahankan negara ini.
“Islam Memimpin”
“Terus Mara”
*YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia*ICERD - International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan