Isnin, 8 Oktober 2018

Ayah berhajat meninggal di Makkah: Musa

Ayah berhajat meninggal di Mekah: Musa
Musa ketika ditemui di Makam Diraja Shah Alam, di sini, pagi tadi.
 
 
SHAH ALAM - “Ayah ada berhajat mahu meninggal dunia di Makkah tempat kelahirannya, namun atas faktor kesihatan tidak memuaskan hajat untuk pulang tidak kesampaian,” kongsi anak Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, arwah sememangnya berhasrat untuk meninggal dunia dan dikebumikan di tempat kelahirannya di perkampungan Syi’ab Amir di Makkah.

Bagaimanapun menurutnya, hasrat berkenaan tidak kesampaian atas faktor kesihatan.

“Ayah kalau boleh nak balik ke Makkah, nak meninggal dunia di Makkah. Saudara mara pun ramai di sana (Makkah). Tapi keadaan kesihatan tidak membenarkannya.

“Bagaimanapun, sebelum meninggal dunia ayah sempat berkongsi tiga pesanan yang pertama ayah mahu bersujud kali terakhir memohon keampunan Alllah,” katanya ketika ditemui di Makam Diraja Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Musa berkata, pesanan kedua Allahyarham ialah menasihatkan supaya kesemuanya sentiasa membaca al-Quran dan menyedekahkan al-Quran kepada beliau serta jangan sesekali lupa menunaikan solat.

Terdahulu, jenazah selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, 9.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dimandikan dan diimamkan solat jenazah oleh anaknya sendiri, Profesor Madya Abd Rauf bersama ratusan ahli keluarga, kenalan, sahabat dan masyarakat setempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut hadir dalam majlis pengebumian itu.
Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Allahyarham yang merupakan tokoh agama dan penerima anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 2002 meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 5.07 petang semalam susulan sakit kanser limfoma tahap empat.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada pelakon popular, Datuk Jalaluddin Hassan.

Beliau merupakan orang yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Tiada ulasan: