Khamis, 18 Oktober 2018

Bung Moktar minta maaf, usul ditarik balik


Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
 
 
KUALA LUMPUR - Usul untuk merujuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengucapkan perkataan tidak sopan, ditarik balik.

Ia susulan Bung Moktar memohon maaf atas tindakannya mengeluarkan perkataan tidak sopan tersebut pada sesi Dewan Rakyat, 7 Ogos lalu.

Beliau turut berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang melanggar peraturan mesyuarat itu pada masa akan datang.

"Saya amat kesal dengan ungkapan itu dan sesungguhnya saya dengan suci hati memohon maaf kepada Yang Dipertua dan dewan yang mulia terutama kepada ahli Parlimen wanita.

"Saya beri jaminan perkara ini takkan berulang lagi dan dengan rendah diri berharap permohonan saya diterima," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Bung Mokhtar keluar perkataan kesat]

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang menarik balik usul itu berharap Bung Moktar agar mengawal emosi selepas ini.

"Saya percaya semua ahli Parlimen mahu dewan ini mencapai taraf kelas dunia. Kita harus amalkan perbahasan berkualiti dan tidak melayan isu-isu remeh.

"Saya berharap kita buang tabiat yang buruk untuk memartabatkan dewan mulia ini. Saya menerima permohonan maaf Kinabatangan dan harap beliau dapat kawal emosi serta tak ulang lagi perkara ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menganggap isu tersebut telah diselesaikan sebaiknya.

"Tahniah kepada dua-dua pihak kerana telah meningkatkan dewan yang mulia ini," katanya.

Tiada ulasan: