Selasa, 23 Oktober 2018

Jamil Kucing tuntut petempatan baru dari k'jaan S'gor

   

Aktivis haiwan, Jamil Ismail hari ini menuntut petempatan baru daripada kerajaan negeri Selangor bagi menempatkan kucing-kucing terbiar di Jalan Ayer Lama, Ampang Jaya.

Jamil, 42, membuat tuntutan itu selepas pihak berkuasa tempatan didakwa "merampas" premis pusat jagaan kucing terbiar dan kini dijadikan pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Harapan saya, kembalikan tempat itu kepada saya dan kalau perlu disewa mahu pun dipajak saya maklum perkara itu atau pun keluarkan peruntukan lain dan bagi tempat lain kepada saya.
“Kalau kerajaan negeri bagi tempat baru, saya terima. Bagilah dekat mana, atas gunung pun tak apa, syarat jauh daripada orang.

“Saya sanggup berjiran dengan hutan daripada berjiran dengan orang,” katanya kepada pemberita.

Jamil atau lebih dikenali sebagai Jamil Kucing berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada exco kerajaan tempatan, Ng Sze Han, di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada jam 3 petang, hari ini.

Sementara itu, Ng yang ditemui pemberita berkata pihaknya akan meneliti bantahan dan tuntutan Jamil sebelum kata putus diberikan mengenai perkara itu.

Menurut Ng, isu mengenai pembinaan taman rekreasi kucing itu merupakan perkara baru baginya.

“Malaysia mengamalkan sistem demokratik, jadi semua orang berhak bersuara dan saya juga sentiasa bersedia mendengar dan perkara ini merupakan perkara baru kepada saya.

“Jadi, saya perlu berbincang dan bertemu dengan pihak yang berkaitan tentang isu ini,” katanya sambil menambah tidak boleh memberi apa-apa jaminan mengenai tuntutan oleh Jamil.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan kekecewaan Jamil kerana tidak dapat menggunakan bangunan yang telah dinamakan sebagai Taman Rekreasi Kucing Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu.

Kumpulan Otai Reformis pada Selasa lalu tampil berkata pihaknya akan menulis surat kepada kerajaan Selangor bagi mendesak isu taman rekreasi terbabit diselesaikan.


Tiada ulasan: