Khamis, 18 Oktober 2018

Umno Selangor nyata sokongan terhadap Zahid


 Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob - Foto Sinar Harian : ROSLI TALIB
 
 
SHAH ALAM - Seluruh kepimpinan dan ahli Umno Selangor akan berdiri teguh di belakang Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang berdepan tekanan susulan daripada dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap agar bekas timbalan perdana menteri itu akan menjalani perbicaraan yang adil oleh mahkamah tanpa sebarang tekanan mahupun campur tangan politik daripada mana-mana pihak.

"Saya mewakili seluruh kepimpinan dan ahli Umno Selangor dengan ini akan menyokong penuh dan berdiri teguh bersama Ahmad Zahid dalam menghadapi tekanan serta musibah ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ahmad Zahid diminta hadir ke bangunan SPRM Putrajaya esok bagi memberi keterangan buat kali keenam berhubung siasatan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Di samping itu, difahamkan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno juga akan membincangkan kedudukan Ahmad Zahid selepas ini susulan dakwaan yang mengaitkan beliau pernah terlibat dalam kes penyelewengan tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail turut menyeru agar seluruh penyokong dan ahli Umno dapat menganjurkan solat hajat dan memanjatkan doa bagi memudahkan segala urusan Ahmad Zahid selepas ini.

"Kami juga berdoa kepada ALLAH SWT agar dapat mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Ahmad Zahid dalam melalui saat-saat getir ini,"katanya.

Tiada ulasan: