PARIT BUNTAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof mengulangi penegasannya bahawa kenyatannya kerajaan tidak lagi melaksanakan serbuan khalwat kepada pasangan Islam diputarbelitkan.

Menurutnya, beliau meminta kenyataan tidak benar dan disalah tafsir itu tidak lagi ditularkan.

Beliau memberi amaran bahawa mereka yang bertanggungjawab menularkan kenyataan itu tanpa meneliti apa sebenarnya beliau perkatakan akan menerima balasan di akhirat.

"Akhir-akhir ini banyak kenyataan saya diputarbelitkan, banyak disalah tafsir. Ada yang kata Menteri Agama sokong LGBT, sokong liberal dan yang terkini mereka kata 'tak apa nak berzina, berkhalwat fasal kerajaan tak tangkap orang yang buat khalwat'.

"Kalau ada yang menularkan benda itu tanpa memerhatikan apa yang saya kata sebenarnya, maka kalau saya tak dapat perjelaskan (perkara sebenar) di dunia, saya takut di hari akhirat nanti mereka akan tergolong dalam golongan orang yang memanjangkan fitnah, seperti sabda Nabi 'jaga-jaga kamu akan dihumbankan dalam api neraka kerana mulut-mulut kamu'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jom Ngail di Ban Pecah, hari ini.