Khamis, 18 Oktober 2018

Kes saman Rahim Thamby Chik terhadap Mat Sabu selesai

SINAR HARIAN

Mahkamah


KUALA LUMPUR - Kes  saman bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berhubung dakwaan memfitnah beliau melakukan kesalahan seksual selesai hari ini selepas menteri itu menarik balik kenyataannya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman merekodkan penyelesaian itu selepas kedua-dua pihak bersetuju berbuat demikian semasa pengurusan kes tersebut.

Prosiding di dalam kamar hakim itu dihadiri oleh peguam Nasar Khan Mirbas Khan yang mewakili Mohamad, manakala peguam R.Roshini bertindak bagi pihak Abdul Rahim.

"Pihak defendan iaitu Mohamad telah menarik balik kata-kata yang diadukan dan pihak plaintif iaitu Abdul Rahim telah menarik balik kes, tiada kos diperintahkan, kedua-dua pihak bertolak ansur," kata Nasar Khan ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Roshini turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak mahu menyelesaikan kes itu.

Pada 6 Februari 2017, Abdul Rahim selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap Mohamad selaku defendan yang didakwa telah membuat tohmahan, bohong dan tidak berasas berhubung salah laku terhadapnya.

Abdul Rahim memohon perintah injunksi untuk menahan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu daripada terus memfitnahnya secara lisan mahupun dalam media cetak serta Internet dan permohonan maaf.

Abdul Rahim juga menuntut pihak defendan untuk membayar ganti rugi am berjumlah RM1.5 juta dan ganti rugi teruk. - Bernama

Tiada ulasan: