Rabu, 17 Oktober 2018

‘Dilarang ambil pekerja bawah 15 tahun atau penjara 5 tahun’


M Kulasegaran berkata, kanak-kanak dan orang muda dilarang 
menjual alkohol, terbabit pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, 
perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau pengiring sosial.
 
KUALA LUMPUR: Majikan yang mengambil kanak-kanak di bawah 15 tahun bekerja boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun bagi kesalahan berulang, berdasarkan Rang Undang-undang Kanak-Kanak Dan Orang Muda 1966 atau Akta 350 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Denda turut dinaikkan daripada tidak lebih RM5,000 kepada tidak lebih RM50,000 dan bagi kesalahan berulang, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000.

Hukuman penjara minimum dinaikan daripada tidak lebih setahun kepada tidak lebih 2 tahun dan pesalah berulang boleh dihukum penjara tidak lebih 5 tahun, berbanding tidak lebih 3 tahun sebelum ini.

Peningkatan hukuman itu antara pindaan dalam RUU yang dibentangkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran untuk melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi atau diskriminasi.

“Akta 350 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan dikuatkuasakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

“Bagi Sabah dan Sarawak, peruntukan seumpama Akta 350 ini diperuntukkan dalam Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) masing-masing dikuatkuasakan Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan itu menetapkan individu berusia bawah 15 tahun ialah kanak-kanak dan bawah 18 tahun sebagai orang muda.

Di bawah pindaan itu, Kulasegaran berkata, kanak-kanak juga dilarang melakukan kerja berbahaya, termasuk mengendalikan jentera, dilindungi daripada bahan kimia berbahaya, keadaan berdebu, suhu melampau dan bunyi bising.

Katanya, majikan juga dilarang mengambil kanak-kanak dan orang muda menjual alkohol, terbabit pekerjaan berkaitan perjudian dan loteri, perkhidmatan urut dan refleksologi, pelacuran atau pengiring sosial.

Tiada ulasan: