Selasa, 23 Oktober 2018

293 Klinik 1Malaysia dijenama semula sebagai Klinik Komuniti

Bernama / ASTRO AWANI
293 Klinik 1Malaysia dijenama semula sebagai Klinik Komuniti
Daripada 347 K1M semasa, 20 daripadanya pula akan dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan manakala 34 yang lain bakal ditutup secara berperingkat. - BERNAMA/Fail
 
KUALA LUMPUR: Sebanyak 293 Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negara akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada 347 K1M semasa, 20 daripadanya pula akan dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan manakala 34 yang lain bakal ditutup secara berperingkat.

Menurutnya, pihak kementerian akan melaksanakan pelan reformasi perkhidmatan K1M untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan pengurusan sumber.

"Reformasi ini bakal menambah baik mutu penjagaan kesihatan kepada golongan sasar dengan menambah fungsinya kepada Rawatan Pesakit Luar yang memberi fokus kepada rawatan dan kawalan penyakit tidak berjangkit serta Kecemasan Asas.

"Sekali gus ia membezakan fungsi antara Klinik Komuniti dan Klinik Desa yang mempunyai fokus perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang ingin tahu impak positif penjenamaan semula K1M kepada Klinik Komuniti pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pada 27 Jun lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan kesemua K1M akan dinilai sebelum diputuskan untuk dinaik taraf, dijenamakan semula atau ditutup.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, kementerian akan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di semua 293 buah Klinik Komuniti secara berperingkat. -- Bernama

Tiada ulasan: