PENEGASAN Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemansuhan tol mustahil
dilaksanakan atas alasan hutang negara; menjadi senarai terbaharu
Manifesto PH yang gagal ditunaikan. Malah, kenyataan beliau menyanggahi
komitmen para pimpinan PH yang menjadikan perkara tersebut modal kempen
pada PRU14.
Bahkan terdahulu, Menteri Kewangan, Lim
Guan Eng sebelum PRU14 lagi begitu yakin dan tegas untuk tol dihapuskan
sekiranya PH menerajui Kerajaan Persekutuan. Kini rakyat semakin merasai
harapan yang kian terburai musnah oleh janji-janji manis penuh
kepalsuan dan pembohongan diulit pelbagai alasan.
Semua kegagalan ini di sisi rakyat
adalah pengkhianatan dan kekecewaan yang sudah pasti dihempaskan pula
kesalahan tersebut kepada politik. Menjadikan moral politik dan amanah
kepimpinan dirosakkan oleh janji-janji serta pengharapan dari ahli
politik yang kemudian sewenangnya bersikap 'lepas tangan'.
Iktibar harus diinsafi semua betapa
politik bukan soal pilihan raya untuk dihitung menang kalah atau meraih
jawatan mahupun kepentingan. Tetapi pertanggungjawaban berat untuk
negara dan kesejahteraan hidup hingga kepada soal masa depan. Manakala
bagi orang Islam pula mengimani akan dihisab di Hari Akhirat kelak.
Oleh itu, keterlanjuran yang telah
dilakukan masih belum terlambat untuk PH betulkannya. Aspirasi rakyat
yang tersandar kepada janji manifesto sebagai dokumen ikrar dan
pembinaan Malaysia Baharu mesti dipenuhi. Nilai dan fundamental politik untuk membina kejayaan harus didukung sebaiknya.
Penstrukturan semula ke arah
mengurangkan beban wajar diadakan sebagai satu pembelaan terhadap
himpitan ekonomi rakyat. Ini selaras perakuan PH berkaitan tekanan sara
hidup rakyat sepanjang di bawah pemerintahan BN, maka penyelesaian yang
'melepas dan membebaskan' rakyat mesti dilakukan.
Mengatasi isu ini, kami menyeru agar
Kerajaan PH menerima cadangan PAS sebagaimana Manifesto Gagasan
Sejahtera supaya mengkaji konsesi tol khususnya yang telah melebihi 15
tahun. Pemegang konsesi perlu kemukakan penyata terkini melibatkan
trafik kepenggunaan dan kos penyelenggaraan.
Menerusinya, nilaian yang dimaklumi
sering mencatat keuntungan besar kepada syarikat konsesi membolehkan
penstrukturan ke arah setidak-tidaknya pengurangan kadar tol diadakan.
Ini adalah langkah awal dan menang-menang yang dapat dirintis antara
syarikat konsesi dan pengguna pada ketika ini.
PAS juga telah mencadangkan agar
pemilikan syarikat konsesi 'dimilikrakyatkan' semampu mungkin. Ia dapat
dilaksanakan melalui agensi dan pelaburan rakyat seperti PNB, KWSP,
KWAP, TH, LTAT, bahkan juga koperasi-koperasi kecil yang aktif. Ini agar
dividen dan keuntungannya kembali ke kantung rakyat.
PAS juga telah mengusulkan agar sebarang
pembinaan lebuh raya akan datang diteruskan menerusi penglibatan rakyat
semaksimum mungkin dengan terbitan sukuk infra khas bagi tabungan
rakyat. Ia agar keuntungan berkaitan kembali ke poket rakyat dan
bukannya diraih segelintir konglomerat yang super kaya.
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Timbalan Ketua PemudaDewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan