Selasa, 23 Oktober 2018

Bekas ketua pengarah risikan akan didakwa Khamis ini

 
   
Datuk Hasanah Ab Hamid, bekas ketua pengarah, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), dijangka akan didakwa pada Khamis ini berhubung dengan dakwaan penyelewengan dana AS$12 juta.

Menurut sumber yang rapat dengan penyiasatan itu, Hasanah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi dan akan didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah oleh penjawat awam.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa beberapa pegawai risikan mungkin menerima AS$12 juta daripada sumber asing melalui negara Asia barat menjelang pilihan raya umum 9 Mei.

SPRM telah menemui tambahan AS$1 juta (RM4.6 juta) sejak Ogos semasa penyiasatannya terhadap dana yang didakwa diterima oleh Hasanah.

Sumber-sumber juga memberitahu Malaysiakini bahawa bilangan orang yang ditahan dalam kes itu kekal sembilan sehingga akhir bulan Ogos.

Mereka didakwa menyalahgunakan kuasa mereka untuk mendapatkan akses khas bagi membawa wang tunai ke Malaysia melalui lapangan terbang.

Mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Kawalan Pertukaran 1953, jumlah bersamaan dengan nilai AS$10,000 (RM41,575) dan ke atas mesti diisytiharkan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan hukuman penjara dan denda.

Tiada ulasan: