Isnin, 8 Oktober 2018

Rosmah bayar wang ikat jamin RM1 juta hari ini


Setakat hari ini Rosmah telah melunaskan RM1.5 juta daripada 
jumlah RM2 juta wang ikat jamin itu.
KUALA LUMPUR: Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hari ini membayar jaminan RM1 juta daripada jumlah keseluruhan RM2 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dua wanita yang dipercayai penjamin Rosmah hadir ke mahkamah kira-kira 10.15 pagi dan terus menuju ke kaunter bayaran jaminan di tingkat bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini untuk menandatangani dokumen berkaitan urusan ikat jamin.

Bayaran jaminan itu dibuat oleh 2 rakan wanita itu yang memakai baju kurung dan bertudung dan mereka meninggalkan Kompleks Mahkamah selepas itu dengan sebuah kenderaan.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Rosmah, yang diwakili barisan peguam diketuai Datuk K Kumaraendran membayar ikat jamin RM500,000 pada hari itu dan bakinya pada atau sebelum 11 Okt.
Oleh itu setakat ini Rosmah telah melunaskan RM1.5 juta daripada jumlah RM2 juta itu.

Pada 4 Okt lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.

Mahkamah membenarkan Rosmah diikat jamin RM2 juta dengan 2 orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dengan 2 syarat menyerahkan 2 pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi dan bakal saksi pendakwaan selain menetapkan 8 Nov untuk sebutan semula kes.


Tiada ulasan: