SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa dakyah hutang RM1 trilion yang direkacipta sendiri oleh kerajaan PH hanyalah bagi mencapai pelbagai objektif untuk kepentingan politik PH sendiri.

Najib menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya menyenaraikan terdapat lapan objektif dakyah hutang RM1 trilion itu di mana yang pertamanya adalah untuk memburukkan kerajaan BN sebelum ini dan selebihnya merupakan alasan kerajaan PH.

Menurutnya, objektif kedua pula ialah merupakan alasan untuk menjual aset-aset negara dan objektif ketiga pula adalah alasan untuk tidak memenuhi janji-janji manifesto.

“Keempat, alasan untuk mengurang atau menghapuskan program pemberian dan kebajikan untuk rakyat. Kelima, alasan untuk mereka membatalkan projek-projek kepada kawasan-kawasan parlimen yang bukan di bawah PH.

”Keenam, alasan untuk membuka tender semula projek-projek dan beri peluang kepada pihak-pihak tertentu. Ketujuh, alasan untuk menaikkan cukai sedia ada atau memperkenalkan cukai-cukai baru serta meminta rakyat berkorban,” katanya hari ini.

Najib berkata, dakyah hutang berkenaan juga adalah alasan untuk menuding jari kepada kerajaan BN apabila keadaan ekonomi di bawah mereka merosot.

“Oleh itu, kerajaan PH akan terus menggunakan ayat "trilion" kerana ia amat mudah difahami oleh orang ramai walaupun pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan BNM (Bank Negara Malaysia) serta badan-badan asing seperti Bank Dunia dan semua agensi penarafan antarabangsa tidak menyatakan hutang negara sebagai RM1 trilion.

“Rakyat perlu tahu Bank Dunia baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa hutang Malaysia bukan ada ditahap yang luar-biasa tinggi manakala laporan rasmi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) minggu lepas dari Unit Perancang Ekonomi merumuskan, Malaysia masih diberi penarafan yang menggalakkan dengan prospek stabil oleh agensi penarafan antarabangsa yang utama berdasarkan asas ekonomi negara yang kukuh,” tegasnya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Sah, hutang negara lebih RM1 trilion ]

Pada 22 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan hutang negara kini sudah mencecah angka lebih RM1 trilion seperti diumumkan Dr Mahathir.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui bahawa hutang negara kini sudah melebihi RM1 trilion dan ia dalam proses kajian semula, memandangkan angka-angka tertentu masih belum dapat disatukan kerana terdapat beberapa akaun dan fail tertentu tidak dapat diakses.