Jumaat, 18 Mei 2018

Surat terbuka guru biasa pada bakal menteri pendidikan

Mohd Azhar Abd Rahman
 
    ULASAN | Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sekalung tahniah saya ucapkan atas kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara pada pilihan raya umum ke-14 baru-baru ini.

Ternyata kemenangan cemerlang dan luar jangka ini, memberi nafas baru kepada imej negara yang kian tercalar di mata dunia akibat tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab mengurus negara tercinta ini.

Sebagai peringatan awal kepada Pakatan Harapan dalam mengisi kemenangan untuk tempoh lima tahun mendatang ini, saya menyeru agar kabinet yang bakal dibentuk dapat memberi perhatian untuk meletakkan amanah menjaga hal ehwal pendidikan negara kepada calon yang betul.

Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini, Kementerian Pendidikan sering mengalami kecelaruan dan perubahan yang bukan-bukan dalam menetapkan dasar dan hala tujunya.

Warga pendidik yang bertanggungjawab melaksanakan dasar yang ditetapkan kadang-kadang keliru dan mengadu di mana rasional dan turutan keutamaan yang perlu diberi perhatian apabila bebanan demi bebanan diletakkan di bahu guru-guru.

Sekian banyak dasar yang diperkenal gagal dijelaskan dengan baik di peringkat bawah sehinggakan sebilangan besar warga pendidik terpaksa mengambil langkah bersara awal kerana mengalami sindrom keletihan akibat dasar-dasar ini meskipun mereka mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik yang cemerlang.

Sebagai satu contoh, Kementerian Pendidikan menetapkan sasaran agar sekolah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam penggunaan pembelajaran maya (VLE Frog) dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mereka yang kini disebut Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPC).

Secara umumnya, inisiatif yang diperkenalkan ini adalah selari dengan perkembangan dunia Teknologi Maklumat (ICT) tetapi persediaan guru dan keperluan kepada platform itu bukan sesuatu yang mendesak.

Tambahan pula sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan yang semakin menguncup sedikit sebanyak membataskan usaha yang dibuat dalam menjayakan dasar tersebut.

Para guru terpaksa berwayang bagi memenuhi kehendak atasan atas pelaburan yang dibuat semata-mata ingin menunjukkan graf pencapaian positif untuk dibentangkan.

Ini bertentangan dengan nilai sebenar dalam pendidikan iaitu berlaku jujur dalam setiap perkara.

Keutamaan yang diletakkan adalah untuk melihat data yang menggembirakan berbanding memberi khidmat pendidikan yang berkualiti, yang diperlukan di sekolah.

Untuk disenaraikan semua kegusaran warga guru dengan dasar-dasar menyimpang itu, rasanya beratus helai kertas pun belum tentu habis dicatatkan.

Reformasi sekolah 

Maka tugas itu kami harapkan menteri yang bakal dilantik nanti segera semak dan perhalusi agar sekolah juga dapat direformasikan bukan hanya pada fizikalnya tetapi juga pada pengisiannya.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah kerajaan yang baru ini memandang ke hadapan untuk memperbetulkan kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara.

Lihatlah betapa ramai masyarakat kita pada hari ini lebih percaya kepada sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa untuk memastikan pendidikan anak mereka sempurna.

Terpaksa mereka sebahagiannya mencari wang lebih untuk menampung yuran belajar kerana mahukan pendidikan anak mereka terjaga.

Tahap kepercayaan kepada sistem pendidikan negara kian terhakis dan ini perlu dibina semula.

Sempena sambutan Hari Guru yang akan disambut esok, para guru seluruhnya pasti ternanti-nanti reformasi dalam pendidikan yang menjadi tunjang perjuangan Pakatan Harapan selama ini.

Kami sudah letih dengan laungan slogan retorik setiap tahun dalam himpunan-himpunan besar guru-guru.

Kami sudah serik dengan kerahan kerja yang tidak membantu ke arah pembinaan negara bangsa.

Kami juga sudah jelik dengan janji-janji penyedap telinga untuk meningkatkan itu dan ini dalam acara-acara bersama pemimpin negara.

Kami perlukan satu nakhoda yang mempunyai keazaman dan kebijaksanaan dalam mengurus hal ehwal pendidikan tanpa ada sebarang campur tangan orang-orang politik berkepentingan.

Biarlah dasar yang diperkenal digubal cermat oleh mereka yang kompeten dan berpengalaman. Bukan dari orang-orang luar atau di kalangan usahawan.

Mereka ini hanya fikir di mana boleh ditukar cadangan dasar menjadi wang. Berbilion wang rakyat dibelanja tapi impak tidak terkesan.

Semoga usaha pembinaan Malaysia Baru yang dibawa Pakatan Harapan dapat diterjemah dalam bentuk tindakan.

Buat masa ini kami beri sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada usaha tersebut.

Tetapi ingat, andai janji dan harapan kami tidak diberi perhatian, lima tahun ke depan kami tidak teragak-agak untuk humban Pakatan Harapan.

Maaf andai ada keterlanjuran bahasa.

Selamat Hari Guru.


MOHD AZHAR BIN ABD RAHMAN seorang guru biasa.

Tiada ulasan: