Ahad, 20 Mei 2018

Pemuda Umno Kedah mahu Khairy tanding jawatan tertinggi

 
Pemuda Umno Kedah juga menyokong pendirian Khairy menolak cadangan jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.


Pemuda Umno Kedah menyokong Khairy Jamaluddin bertanding jawatan presiden atau timbalan pada pemilihan parti akan datang.


PETALING JAYA: Pemuda Umno Kedah mencadangkan Ketuanya, Khairy Jamaluddin bertanding bagi jawatan presiden atau timbalan presiden parti itu.

“Tidak timbul soal nak menjaga hati pemimpin tertentu, tetapi lebih kepada nak membina kembali parti daripada runtuhan, kehancuran.

“Keberanian ahli Umno kali ini dalam membuat keputusan adalah isyarat awal kepada rakyat untuk kita menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Jika kita gagal memberi mesej positif kepada rakyat, maka sudah tentunya kita sudah kalah pusingan awal sebelum masuk gelanggang,” kata Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam pesanan mesej kepada FMT hari ini.

Shaiful berkata, Pemuda Kedah turut menyokong gesaan Khairy supaya semua jawatan parti, termasuk presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

“Pemuda Umno Kedah mohon ahli Umno berani buat perubahan demi membina kembali parti.

Faktor kekalahan pada PRU yang lalu adalah rakyat melihat Umno ini feudal dan tidak dinamik, berbanding Pakatan Harapan yang dilihat lebih bercirikan ‘TN50’ berbanding BN dan Umno.

“Pemuda Umno Kedah juga mohon agar perubahan ini tidak hanya berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi sahaja. Ketua Umno bahagian yang sudah terlalu lama memegang jawatan perlu tunjuk jiwa besar untuk beri laluan kepada muka baru.”

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, budaya menang tanpa bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu antara punca kekalahan BN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Katanya, budaya itu memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap Umno dan BN.

Tiada ulasan: