Jumaat, 25 Mei 2018

MT Umno perlu buat keputusan segera selesai kemelut Perlis - Mubarak

MALAYSIAKINI

   
Majlis Tertinggi Umno perlu membuat keputusan segera berhubung tindakan Umno Perlis semalam yang mencadangkan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perlis Datuk Bahari Taib berkata perkara seumpama itu tidak pernah berlaku kerana kuasa memecat keanggotaan parti bukan terletak pada pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

"Pada pandangan kami dalam keadaan ini, Shahidan sepatutnya perlu berbincang dan dapatkan pandangan pusat sebelum membuat apa-apa keputusan... apa yang dilakukan di luar perkembangan Umno.

"Kami juga berpandangan Shahidan tidak faham apa terkandung dalam perlembagaan Umno," katanya kepada pemberita di Kangar semalam.

Bagaimanapun, katanya Mubarak Perlis menjunjung kasih ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di atas perkenan melantik Azlan sebagai menteri besar bagi penggal kedua dan akan menyokong penuh kepimpinan beliau.

Shahidan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri semalam mengumumkan cadangan memecat Azlan, yang baru mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis pagi semalam, kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti setelah sembilan Anggot_a Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Perlis menolak pelantikan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu itu memandangkan tindakan pemecatan Azlan itu masih belum dianggap sah.

"Saya tidak pasti sama ada pengerusi Umno negeri ada hak atau tidak untuk pecat Azlan, kita tunggu , tengok dulu sah atau tidak pemecatan ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena Asrul Nizan Abd Jalil daripada PKR berkata kemelut yang melanda BN Perlis akan melemahkan parti itu sendiri sekali gus merugikan mereka.

"Perkara ini juga akan menambah murka baginda Tuanku Raja Perlis kerana mereka dilihat seolah mencabar keputusan baginda melantik Azlan sebagai menteri besar," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: