Q&A | Kebelakangan ini, ceramah-ceramah pembangkang di pekan berdekatan kawasan Felda mendapat sambutan hangat.
Beribu-ribu keluarga peneroka turun padang. Tetapi apa yang tak kenanya dengan lembaga bawah Jabatan Perdana Menteri itu?
Berikut pandangan pakar ekonomi dan bekas penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pembangunan ekonomi dan sosial Prof Dr Jomo Kwame Sundaram (bawah).
Dakwaan penyelewengan Felda Global Ventures (FGV), Felda serta yang lain, seperti 1MDB, telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan para peneroka Felda. Masalah ini telah lama disuarakan oleh Persatuan Anak-Anak Felda.
Peneroka Felda sendiri seringkali membuat aduan tentang Felda, dan pernah membawa kes-kes berkaitan kehilangan pendapatan ke muka pengadilan.
Diketahui umum bahawa Felda telah mengalami kerugian besar kerana ditipu dan disalah urus, terutamanya dewasa ini setelah FGV ditubuhkan.
Tetapi peneroka telah mendapat banyak faedah dari Felda pada masa lampau?
Felda telah menempatkan semula 122,000 keluarga, yang hampir semuanya orang Melayu dan pribumi di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Penerokaan tanah Felda, yang dimulakan pada zaman penjajah lagi pada tahun 1956 dengan arwah Tun Razak, terus berkembang pesat di Semenanjung sehingga tahun 1980-an, dan di Sabah sehingga tahun 1990-an.
Nasib para peneroka Felda, yang sepatutnya dipilih daripada keluarga susah yang tiada tanah, dapat mengerjakan kira-kira empat hektar tanah sekeluarga.
Rezeki mereka maju dengan bertambahnya pendapatan hasil penanaman kelapa sawit (dahulunya getah) dan juga pendapatan lain.
Dari semasa ke semasa, mereka juga menerima bayaran lain, terutamanya menjelang pilihan raya.
Maka, FGV ditubuhkan untuk memperkayakan lagi peneroka Felda serta keluarga mereka?
FGV kononnya merupakan durian runtuh bagi keluarga. Masing-masing dibenarkan membeli 800 saham FGV dengan pinjaman tanpa faedah.
Apabila harga saham FGV jatuh, para peneroka marah kerana terpedaya melabur dalam FGV.
FGV, yang ditubuhkan pada bulan Jun 2012, dicanang mempunyai nilai saham terbitan pasaran sebanyak RM10.5 bilion. Ini merupakan tawaran umum asal (IPO) terbesar di Asia, dan kedua terbesar di dunia, selepas Facebook.
Saham FGV mula melonjak dari harga asal sebanyak RM4.55 kepada harga setinggi RM5.50 sebelum merudum sehingga harga kini kurang dari RM1.7, tak sampai 40 peratus dari harga asal!
Kejatuhan harga saham FGV ini dikatakan berpunca dari kemerosotan harga minyak kelapa sawit tetapi nilainya tidak naik semula setelah harga minyak sawit pulih.
Pelabur Malaysia terbesar dalam FGV, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menarik keluar 3.85 peratus saham mereka.
FGV memegang sebanyak 51 peratus saham Koperasi Permodalan Felda (KPF). KPF pula terpaksa jual lima juta saham FGV di bawah harga pasaran – yang menyebabkan kerugian teruk bagi ahlinya!
Laporan audit menunjukkan FGV dibebani hutang sebanyak RM6 bilion.
Tetapi kerajaan telah cuba baiki masalah Felda dan FGV itu?
Pada bulan Januari 2017, Mohd Isa Abdul Samad, pengerusi Felda, disingkir dan digantikan YB Shahrir Samad. Setelah dilantik, Shahrir ingin tahu ke mana hilangnya RM3.5 bilion selepas FGV disenaraikan di Bursa Saham KL.
Pada mulanya, Shahrir memecat seluruh ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan Felda, Felda Investment Corporation (FIC).
Beberapa penyelewengan dibongkar, tetapi kemudiannya, jelas bahawa ada banyak lagi yang terus dirahsiakan.
Tetapi, yang sungguh mengecewakan, Felda pula telah membeli 37 peratus saham syarikat perladangan Indonesia, PT Eagle High, yang dikuasai rakan karib PM dari Indonesia, Peter Sondakh.
Apa salah Felda membeli Eagle High?
FGV pernah dinasihatkan jangan membelinya oleh perunding KPMG, antara lain kerana harga asalnya, AS$680 juta 70 peratus lebih tinggi dari nilai pasarannya!
KPMG khuatir 60 peratus tanah Eagle High, seluas 260,000 ha, barangkali tidak akan diberi kelulusan bertanam. Perusahaan itu tidak diiktiraf ‘mampan’ pada peringkat antarabangsa, malah didapati melanggar peraturan berkali-kali.
Malah, pembelian Eagle High boleh merosakkan nama baik seluruh Felda yang penting untuk menjual minyak kelapa sawit di luar negeri.
Tetapi sebaik saja FGV menarik diri, kerana disiasat BSKL pada akhir tahun 2016, FIC pula, dengan jaminan Kementerian Kewangan, menggantikannya kerana Felda tidak disenaraikan dalam BSKL.
FIC, yang pada asalnya ditubuhkan untuk melabur di luar bidang perladangan, membelikannya dengan harga melebihi RM2 biliun, 50 peratus lebih tinggi dari nilai pasarannya!
Maka, dengan langkah ini, penyakit FGV telah menyerap ke Felda.
Harapkan pegar, pegar makan padi - pakar ekonomi
Harapkan pegar, pegar makan padi II - pakar ekonomi
Kenapa pakar ekonomi pun tolak ECRL? Ini kata Jomo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan