PRU14 | Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) masing-masing teruja apabila ada gambar menunjukkan orang ramai berkumpul mendengar satu demi satu ceramah gabungan pembangkang itu menjadi tular.
Namun di mata pihak TV3, stesen televisyen itu mendakwa imej yang tersebar itu sebenarnya diubah suai.
Dakwaan berkenaan dibuat selepas perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak mendakwa HARAPAN 'mengimport' orang ramai untuk menghadiri ceramah menggunakan bas.
Langkah itu kata Najib dibuat semata-mata untuk menunjukkan kononnya HARAPAN mendapat sambutan.
Dalam siaran Buletin Utama malam ini TV3 menegaskan HARAPAN melakukan "tindakan terdesak" dengan mengubah suai gambar berkenaan bagi menarik sokongan ramai.
"Taktik pembangkang didedahkan perdana menteri merujuk kepada gambar disebar di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp menunjukkan seolah-olah ada lautan orang ramai, khususnya pada ceramah dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad," kata pembaca berita.
Untuk mengukuhkan lagi dakwaan itu stesen televisyen yang dikuasai Media Prima itu turut menemu bual penganalisis politik, Noor Wandy Mat Noordin.
Kata Noor Wandy jumlah hadirin yang kelihatan ramai itu memang ada kemungkinan diubah suai.
Bagaimanapun dia tidak memberikan jawapan muktamad terhadap kesahihan gambar berkenaan.
"Gambar-gambar ini ditularkan seolah-olah ada ribuan manusia membanjiri program tersebut.
"Ia mungkin benar dan mungkin mempunyai faktor ubah suai di mana gambar itu diambil dari majlis tidak berkaitan dan diletakkan (diubah suai) untuk menunjukkan majlis (HARAPAN) mendapat sambutan," katanya.
Gambar menunjukkan jumlah kehadiran orang ramai sering menjadi alasan untuk mana-mana pihak membuktikan mereka mendapat sokongan ramai.
Menjelang PRU ke-14 minggu depan, HARAPAN menggiatkan kempen mereka di seluruh negara.
Pembabitan dua bekas menteri kanan Umno - Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz - serta Tan Sri Dr Rais Yatim yang dijangka akan turun padang tidak lama lagi semakin menghangatkan suasana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan