Ahad, 20 Mei 2018

BANGKITLAH DEMI PERJUANGAN UMNO – ZAHID




Semua ahli UMNO di seluruh negara diseru bersatu dan melupakan nostalgia hitam dalam usaha meneruskan kelangsungan survival parti itu dalam arena politik negara pada masa hadapan.

Pemangku Presidennya Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu membaiki beberapa pendekatan termasuk dalam urusan mentadbir organisasi itu di semua peringkat dengan menuntut perubahan sikap dan juga kualiti kepimpinan ahlinya di semua pringkat yang amat memerlukan perubahan drastik demi perjuangan survival parti.

“Kelangsungan politik UMNO ini berpaksikan sepenuhnya kepada sokongan yang padu daripada seluruh ahli UMNO dan berikan keyakinan semula kepada UMNO di semua peringkat dan juga kembalikan sokongan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Lihat dari senario yang berada di hadapan kita, ternyata kelangsungan bangsa kita berada pada amat kritikal, UMNO harus disusun semula dan ini akan membolehkan UMNO tetap relevan sebagai organisasi politik yang insyallah dapat sekali lagi memayungi bangsa Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, pada Sabtu.

Zahid yang mengambil alih tugas Presiden setelah Datuk Seri Najib melepaskan jawatan itu pada 12 Mei lalu, menggesa ahi-ahli UMNO memberi sokongan jitu yang tidak berbelah bahagi kepada dirinya dan Datuk Seri Hishammuddin Hussain serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO dalam memulihkan maruah parti keramat Melayu yag tercalar teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kita harap ahli-ahli UMNO di semua peringkat dapat memberikan keyakinan kepada kami berdua untuk memberikan kesinambungan terhadap kelangsungan hidup UMNO di dalam persada politik negara.

“Penekanan kami adalah untuk menjadikan UMNO ini terus relevan, dan bangkit semula dan kita menggesa semua warga UMNO menerima keputusan PRU14 yang lalu dengan hati terbuka dan juga berlapang dada.

“Kita menghormati prinsip demokrasi. Alhamdulillah rakan-rakan kita yang telah kami temui dalam mesyuarat dan perbincangan berkenaan telah memberikan sokongan padu kepada kami berdua dan kepimpinan tertinggi UMNO dan BN yang sedia ada.

“Kita di dalam BN dan UMNO merupakan parti tunggal yang mempunyai 78 ahli parlimen. Insyallah segala tindakan kami akan kami lakukan secara satu kumpulan dan kita tidak akan membenarkan ahli-ahli parlimen ini diracik-racik satu persatu. Mereka telah memberikan kepercayaan dan mandat kepada kami berdua sebagai satu pasukan dan sebarang tindakan rundingan atau pun perbincangan pendapat keputusan kita akan lakukan secara bersama,” ujarnya.

Justeru Zahid menyeru setiap ahli UMNO bermuhasabah dan menegaskan apa yang menimpa UMNO dan BN ini mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Sebagaimana yang kita maklum bahawa hilangnya penguasaan UMNO dan BN di peringkat Persekutuan, samalah seperti kerosakan rumah agam rumah besar dengan hampir terbakar hangus, tetapi kita mempunyai tiang seri, 78 tiang seri yang tetap utuh dan kukuh.

“Kita perlu membaiki segera segala kerosakan dan kita bina semula rumah agam yang hampir terbakar hangus. Warga UMNO perlu insaf bahawa kita sedang melalui fasa yang amat getir pelayaran dan perjalanan politik kita masih jauh, namun ianya bukan merupakan fasa yang terakhir.

“Kita perlu muhasabah dan memperbaiki kelemahan dan kekurangan kita selama ini, proses perubahan mesti bermula dari peringkat atasan hingga ke bawah, dari pusat, negeri, bahagian dan cawangan. Setiap cawangan wajib menunjukkan sikap berlapang dada dan bijak menguruskan pandangan yang berbeda daripada ahli yang kini mahukan perubahan yang segar,” katanya.


Tiada ulasan: