Sabtu, 17 Februari 2018

Ubah jika Pakatan Harapan tidak tepati janji


Ubah jika Pakatan Harapan tidak tepati janji




Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pengundi boleh menolak Pakatan Harapan pada pilihan raya seterusnya jika gagal melaksanakan janji apabila diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Menurutnya, paling penting dilakukan pada pilihan raya akan datang adalah melakukan perubahan dengan memilih Pakatan Harapan sekali gus menjatuhkan rejim Umno-BN yang sudah berkuasa sejak 60 tahun lalu.

“Ubahlah dulu buat perubahan di peringkat Putrajaya. Kalau Pakatan Harapan tidak memenuhi apa yang dijanjikan, pilihan raya akan datang, ubah pula.

“Inilah yang sepatutnya perlu dilakukan rakyat. Bukan sampai 60 tahun (mengundi BN). Bukan kami (Pakatan Harapan) yang sempurna dan terbaik. Tidak.

“Kita mahu rakyat sedia berubah pergi kepada kebaikan,” tegasnya dalam ceramah Pakatan Harapan anjuran Pejabat AMANAH Jerteh, Terengganu kelmarin.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan tersebut berkata, golongan agama terutamanya perlu bersikap peduli dengan menolak pemimpin yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

“Walaupun rasuah, menyeleweng, kita kena sokong sebab mereka Melayu. Mana datangnya hujah ini? Dulu, (ketika dalam Pas) saya tidak pernah dengar.

“Keluar viral juga sekarang ini, ‘kita takkan jatuhkan BN kerana Pakatan Harapan ini diketuai DAP. Apa pun rasuah, menyeleweng kita tetap mahu Najib terus jadi perdana menteri.’

“Kamu hujah agama atau apa? Kenapa golongan agama jadi begitu,” bidasnya merujuk pada beberapa pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilihat mesra BN dan pada masa sama memusuhi Pakatan Harapan.

Mohamad turut berpendapat masyarakat bukan Islam lebih peka pada isu rasuah berbanding orang Melayu Islam yang dilihat majoritinya seolah-olah tidak mahu ambil tahu.

“Padahal, paling miskin dalam kalangan orang Melayu. Kenapa orang Islam tidak mahu ambil tahu tentang urus tadbir baik ini?

“Inilah yang berlaku di Timur Tengah. Kalau keluar senarai terkaya di dunia, ada orang Islam, isteri sultan, raja dan menteri.

“Tetapi negara Islamlah pengeksport pelarian terbesar di dunia ini. Merangkaklah cari makan di Jerman. Keluar pula beratus ribu dari Myanmar.

“Semua pelarian ini orang Islam sedangkan Allah kurniakan kekayaan begitu hebat di negara orang Islam,” ujarnya.

Justeru, kata Mohamad lagi, sikap yang tidak peduli kepada rasuah dan penyelewengan mengakibatkan negara-negara yang dihuni orang Islam bergolak.

“Ini yang berlaku. Lemah. Di Afghanistan, perang sudah 40 tahun. Cukuplah kita tayangkan kekayaan raja, presiden, Rosmah, orang Islam makin tiada kerja,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: