Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, aplikasi itu direka setelah ramai orang kerap bertanya bagaimana mereka dapat membantu perjuangan Warisan untuk mengubah kerajaan.
Katanya, aplikasi itu akan membolehkan mereka menderma dengan nilai yang mereka sendiri tetapkan, secara “sukarela” dan “tanpa paksaan.”
“Kami tahu ramai yang mahu menyumbang. Jadi kami sediakan platform (aplikasi) ini untuk memudahkan mereka menyumbang, dengan jumlah yang tak membebankan mereka.
“Mereka boleh menderma tanpa identiti mereka terbongkar. Malah (derma) serendah 50 sen pun boleh,” katanya ketika melancarkan aplikasi mudah alih itu hari ini.
Turut hadir, timbalan presiden Warisan Darell Leiking, setiausaha Loretto Padua Jr, bendahari Terrence Siambun, ketua maklumat Jake Nointin, ketua pemuda Azis Jamman dan lain-lain.
Sejak minggu lalu, ahli parti Warisan telah mula berkongsi maklumat mengenai aplikasi dan laman web “Perjuangan Rakyat” menerusi pelbagai saluran media sosial, termasuk WhatsApp.
Dalam video yang kini tular di media sosial, Darell berkata "Perjuangan Rakyat" mensasarkan sokongan dari rakyat Sabah yang tinggal di negeri itu dan Semenanjung.’
Aplikasi itu boleh di dapati di Google Play Store, Apple App Store dan di www.rakyatsproject.org.
Hari ini, Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna berkata, dana Warisan hanyalah kecil sahaja berbanding dana oleh kerajaan yang memerintah sehingga dapat mewujudkan BR1M yang mana menurut Shafie dilihat sebagai usaha untuk membeli undi.
“Wang yang diderma pergi terus ke dalam akaun parti dan akan diaudit supaya semua orang dpaat lihat bagaimana Warisan gunakan wang itu,” katanya.
Antara lain, Shafie berkata, aplikasi itu turut menawarkan perkembangan berita berkaitan Warisan khususnya dan isu negara amnya, selain respons undian parti berhubung isu berkait rakyat biasa Malaysia.
“Keputusan undian (dalam aplikasi) itu akan digunakan untuk membantu Warisan merumus dasar dan perkembangan. Contohnya, seperti cadangan yang saya terima untuk membuat kilang tayar di Beaufort kerana kawasan itu ramai penoreh getah, andai Warisan dapat membentuk kerajaan,” katanya.
“Warisan bukan parti tunggal yang bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi juga mahu menubuhkan kerajaan yang dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan