MASYARAKAT Islam di Malaysia hari ini terpengaruh dengan satu teori berkait dengan Rukun (sudut) Kaabah. Teori ini menyatakan bahawa Tanah Melayu akan menjadi tempat kebangkitan Islam berdasarkan petunjuk arah rukun Hajarul Aswad. Ini kerana jika diteliti semua rukun-rukun lain iaitu rukun Iraqi, Syami dan Yamani, kesemuanya telah dihuru-harakan oleh Zionis laknatullah. Hanya kawasan arah Rukun Hajarul Aswad sahaja yang masih selamat.Berdasarkan reaksi di media sosial, ramai juga yang mempercayainya. Setakat saya menyampaikan kuliah yang berkait dengan eskatologi, ramai juga jemaah yang bertanya berhubung teori ini. Tidak kurang yang menghubungi melalui talian elektronik.Saya belum pernah menemui teori ini di alam pengajian mahupun sekarang. Justeru bagi saya, teori ini amat lemah kerana ia hanya berdasarkan telahan akal semata-mata tanpa disokong oleh sebarang nas. Perkara yang melibatkan akidah (kepercayaan) sama ada yang usul mahupun furu' perlu kepada nas. Nas pula mestilah difahami mengikut kaedah yang betul. Syarat-syaratnya begitu ketat sehingga memerlukan ilmu-ilmu asas yang banyak sebelum layak berpendapat ke atas sebarang nas.Mengukur ketepatan arah Rukun Hajarul Aswad satu perkara yang perlu dipertikaikan. Jika dilihat pada rukun Yamani, ia tidak menunjukkan arah Yaman secara tepat. Yaman di sebelah tenggara Kaabah sedangkan rukun Yamani di sebelah Selatan. Rukun Syami lebih jauh dari arah Syam kerana ia menunjuk ke arah Barat sedangkan Syam di arah Utara Kaabah. Lalu bagaimana kita boleh menganggap Rukun Hajarul Aswad memaksudkan Tanah Melayu dengan alasan ianya menunjukkan ke arah Nusantara ini secara tepat?Walaubagaimanapun, memang terdapat hadis di akhir zaman bahawa panji hitam akan bangkit dari arah Timur, tetapi tidak semestinya Tanah Melayu. Dalam hadis yang lain, ada menyebut mereka dari wilayah Khurasan, nama bagi kawasan yang dikongsi oleh Iran, Pakistan dan Afghanistan. Dalam hadis yang lain juga, dinyatakan juga mereka adalah dari keturunan Bani Tamim. Keturunan Bani Tamim menjadi pemerintah Qatar pada hari ini, dan negara tersebut juga berada di sebelah Timur Kaabah, arah rukun Rukun Hajarul Aswad.Kesimpulannya, teori ini tiada sokongan dalil naqli dan tidak kukuh dari sudut aqli. Tetapi tidaklah menafikan kalau benar bangsa Melayu boleh menjadi watak utama di akhir zaman nanti. Tuhan boleh menjadikan mana-mana kaum mulia dan hina dengan izin-Nya. Sejarah merekodkan panji Islam sering bertukar tangan daripada Arab, Parsi, Rom, Kurdis dan Turkis. Hanya Allah yang mengetahui bangsa manakah yang seterusnya layak menerima kemenangan Islam. HARAKAHDAILY
Jumaat, 16 Februari 2018
Teori Rukun Hajarul Aswad
ALANG IBN SHUKRIMUN
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan