Ahad, 11 Februari 2018

Pilih calon pilihan raya berintegriti

DETIK DAILY

 
Oleh

APABILA angin bertiup, pucuk kuat bergoyang, tetapi perdu tidak bergerak. Sekarang tiupan angin pilihan raya mula dirasai.

Dalam kalangan orang politik ramai yang sudah bergoyang. Walaupun angin sepoi-sepoi bahasa, mereka di puncak senget ke kiri dan senget ke kanan.

Dalam kalangan menteri, ada yang bimbang tidak jadi menteri lagi selepas ini. Dalam kalangan ahli Parlimen dan Adun, ramai yang sudah merancang nak buat apa selepas pilihan raya nanti. Bagi anak-anak muda yang lama menanti, inilah masa untuk melobi.   

Proses pemilihan calon pilihan raya di negara kita tidak berlaku secara telus dan boleh difahami. Malah, tidak ada satu kriteria yang jelas mengenai pemilihan calon. Semua parti politik menyerahkan kepada beberapa pemimpin atasan parti sahaja untuk menamakan calon.

Maka, apa yang berlaku ialah calon yang dipilih bagaikan ayam tambatan. Siapa saja yang difikirkan boleh menang, maka dia diletakkan sebagai calon parti. Parti-parti politik mencari winnable candidate walaupun dia tidak semestinya pemimpin terbaik di kawasan tersebut.

Biarpun mereka tidak berfungsi dengan cemerlang sebagai anggota legislatif, mereka tetap dicalonkan asalkan boleh menang.

Disebabkan proses pemilihan itu tidak jelas, maka mereka yang tidak terpilih merajuk. Apabila nama-nama calon diumumkan, ada yang menutup bilik gerakan dan mengugut untuk melompat ke parti lawan. Bermulalah proses pujuk-memujuk selepas itu.

Sekiranya kita benar-benar mahu memilih pemimpin terbaik, sudah sampai masanya kita me-lakukan penambahbaikan kepada proses pemilihan calon.

Era di mana kita disuruh mengundi siapa saja calon pilihan parti sudah berlalu. Ahli parti sendiri pun tidak mengundi sekiranya calon tersebut gagal memenuhi harapannya.

Pertama, calon hendaklah melepasi tapisan integriti. Rakyat mengharapkan pemimpin yang amanah.

Ada beberapa kaedah bagaimana proses ini boleh dilakukan. Cara yang diamalkan sekarang ialah memberikan nama-nama bakal calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk semakan.

Satu lagi cara yang boleh digunakan ialah dengan parti mengambil pendekatan terbuka dan mempamerkan nama-nama mereka yang dipertimbangkan sebagai calon kepada umum.

Sekiranya ada aduan berkaitan integriti, bolehlah diadukan kepada parti berkenaan. Dengan cara ini, parti tahu adakah calon mereka benar-benar bersih atau hanya kelihatan bersih. Ini adalah satu lagi kaedah bagaimana kita boleh melibatkan rakyat dalam proses demokrasi.

Kedua, kempen pilihan raya dibuat dengan menggunakan dana kerajaan. Suruhanjaya Pilihan Raya diberikan sejumlah wang untuk diperuntukkan kepada calon-calon berkempen. Calon dan parti boleh memberi wang kempen, namun jumlah itu dihadkan.

Walaupun peraturan ini ada, namun penguatkuasaan cukup longgar. Sepanjang ingatan, belum ada lagi calon pilihan raya yang disabitkan kesalahan kerana melanggar peraturan lebih perbelanjaan ini.

Apabila wang kempen tidak dihadkan, calon yang ada banyak wang mempunyai kelebihan ber-banding calon lain.

Calon daripada kalangan akademik atau bekas penjawat awam, mungkin ada kekurangan. Sebaliknya, calon orang bisnes, ada kelebihan. Dalam kes-kes tertentu, calon mungkin terpaksa melakukan cara-cara yang tidak baik untuk mendapatkan wang kempen dan ini menjejaskan integriti.

Dan yang ketiga, senarai nama calon diumumkan lebih awal. Ini bertujuan memberikan peluang kepada ahli-ahli parti dan rakyat memberikan maklum balas. Parti-parti politik harus menghentikan penamaan calon secara serang hendap. Esok nak buat penamaan, malam ini baru diumumkan.

Pilihan raya harus bersifat telus sekiranya kita mahu politik memberikan erti besar kepada proses bernegara. Sesuatu yang kita amalkan sejak sekian lama mungkin betul pada masa itu. Namun, ia mungkin sudah tidak sesuai lagi pada masa ini.

Apa yang disebutkan ini tidak kesemuanya melibatkan penggubalan undang-undang. Sebahagian besar saranan ini boleh dilakukan melalui proses dalaman parti saja. Inilah keberanian yang harus ada kepada parti-parti politik dalam negara kita. Soalnya, parti manakah yang ada keberanian itu?

* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat

Tiada ulasan: