Isnin, 12 Februari 2018

Nik Abduh Tempelak PM, Kit Siang, Dr M, Husam Sekali Gus

Ammar Sufian
 
 sekali gus

Sesekali bersuara ternampak juga garangnya Anggota Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh.

Dalam satu kemas kini hantaran di Facebook semalam anak bekas menteri besar Kelantan itu menggunakan ruang yang ada untuk ‘melibas’ sejumlah tokoh sekali gus.

Tokoh yang menjadi sasaran Nik Mohamad Abduh ialah Datuk Seri Najib Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Husam Musa.

Dia memulakan gerakan ‘silatnya’ dengan menempelak perdana menteri yang sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada dana disalurkan Putrajaya untuk membolehkan mereka mentadbir negeri dengan lancar.

Kata Nik Mohamad Abduh sebelum Najib meminta Kelantan berterima kasih kepada kerajaan pusat, perdana menteri perlu terlebih dulu mengucapkan penghargaan itu kepada Kota Bharu.

“PM sedarkah Kelantan wujud terlebih dulu sebelum Malaysia."

“Sebelum nak suruh Kelantan berterima kasih kepada pusat, belajarlah berterima kasih dulu pada Kelantan,” katanya.

Bekas ketua pemuda PAS itu juga mengingatkan Najib bahawa Putrajaya dapat menyalurkan dana ke Kota Bharu hanya selepas kerajaan negeri menyumbang wang kepada pusat.
“Semasa Dr Mahathir dera Kelantan dulu pun, Kelantan masih hantar wang pada pusat. Istiqamah,” katanya.

Mengenai Dr Mahathir, Nik Mohamad Abduh menyindirnya dengan analogi ketakutan orang kampung kepada hantu dan memandu laju sambil tetap memandang cermin belakang.

Katanya pada masa sama Dr Mahathir tidak menyedari PAS sudah berada “di depan” berbanding Pakatan Harapan yang diketuainya.

“Jangan pandang belakang Tun. PAS dah di depan ni..” katanya

Seterusnya Nik Mohamad Abduh menempelak Lim yang juga pemimpin veteran DAP.

Takut terlepas jadi PM

Jelas menjawab dakwaan Lim mengenai Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan jawatan perdana menteri pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Nik Mohamad Abduh berkata Lim sebenarnya berbohong.

Katanya pembohongan Lim kepada masyarakat bukan Islam semakin kuat dan yakin kesan daripada tindakan itu akan dirasai DAP tidak lama lagi.

“Main politik dalam terowong bawah lautlah tak lama lagi,” katanya menyindir dipercayai merujuk kepada projek pembangunan terowong dasar laut Pulau Pinang yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Nik Mohamad Abduh PAS mencadangkan nama tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk jawatan perdana menteri pada PRU ke-13 sebagai langkah mahu menarik lebih banyak sokongan pengundi Melayu dalam Pakatan Rakyat.

Katanya bekas menteri kewangan itu juga diterima oleh masyarakat bukan Islam.

“Cadangan ditolak kerana ada orang lain yang kalut nak jadi perdana menteri (dan) takut terlepas.

“Memang terlepaslah dulu dan kini pun. Dr Mahathir jugak yang menang akhirnya. Tetiba TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) jugak yang disalahkan. Belit tahap sembelit,” katanya.

Kesian pada Husam

Akhir sekali Nik Mohamad Abduh turut mengulas ringkas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa.

Husam suatu ketika dulu orang kepercayaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menjadi exco kanan Kelantan.

Istana Kelantan pada 6 Feb lalu menarik balik pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada wakil rakyat Salor itu, berkuat kuasa serta-merta.

Turut dilucutkan gelarannya ialah bekas speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Wan Abd Rahim kini dilantik sebagai pengerusi AMANAH Kelantan.

Di mata Nik Mohamad Abduh, Husam adalah orang kepercayaan arwah bapanya namun “gagal” kerana tindakannya sendiri.

“Hj Husam ni saya tak nak ulas. Kesian. Orang kepercayaan almarhum ayahanda yang gagal kerana buatan sendiri.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun,” katanya. Malaysiakini

Tiada ulasan: